TOPIK 2 |
PENGURUSAN SOSIO-EMOSI
|
Pernahkah anda fikir tentang
suasana sosio-emosi sesebuah bilik darjah?
Mengapa seorang guru perlu memberi perhatian kepada suasana bilik darjah?
Dengan pengalaman anda, pastinya
anda dapat merenung bagaimana anda dapat mewujudkan suasana sosio emosi yang baik untuk murid-murid
anda. Aspek sosio-emosi amat penting
untuk mewujudkan suatu keadaan yang harmonis dan pengajaran dan
pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesannya. Justeru ini, topik ini akan
membincangkan beberapa aspek dalam
sosio-emosi yang perlu diambil kira oleh guru dalam mengurus bilik darjah.
2.1 Konsep Dan Tujuan Pengurusan Sosio-Emosi
Perkataan sosioemosi terdiri daripada dua perkataan iaitu sosial dan
emosi,Menurut Kamus Pelajar Edisi Ketiga sosial ditakrif sebagai segala yang
berkaitan dengan masyarakat, perihal masyarakat dan kemasyarakatan.
Perkembangan sosial pula adalah satu proses apabila kanak-kanak belajar
berhubung dengan orang lain mengikut cara yang dapat diterima oleh masyarakat
dan budayanya. Perkembangan sosial kanak-kanak terdiri daripada kemahiran
berinteraksi dengan orang lain, pembentukan kendiri, penghargaan kendiri dan
kawalan kendiri. Identiti sosial dan kefahaman kendiri kanak-kanak berkembang
dalam dua peringkat, iaitu kewujudan kendiri dan kategori kendiri (Lewis, 1995;
Lewis & Books-Gunn, 1979).
Perkataan emosi berasal daripada perkataan Greek iaitu “emovere”
yang membawa maksud “untuk keluar”. Oleh itu, emosi adalah satu perasaan
afektif yang dialami oleh seseorang individu dalam sesuatu keadaan yang memberi
makna kepada dirinya. Emosi juga boleh ditakrifkan sebagai tindak balas atau
kebangkitan yang ditonjol keluar sebagai rangsangan kepada perasaan emosi.
Ahli psikologi dan fisiologi berpendapat bahawa emosi melibatkan
perasaan, gerak hati, tindak balas fisiologi dan pernyataan emosi. Emosi boleh
dibahagikan kepada dua iaitu emosi positif seperti gembira, teruja dan emosi negatif pula adalah seperti
marah, kecewa dan lain-lain.
Oleh itu, sosioemosi dalam kalangan kanak-kanak ditakrifkan sebagai satu
proses berinteraksi dan mengadaptasi diri dalam masyarakat.
2.2 Perkembangan dan Pengurusan Sosio-emosi Di Dalam Bilik Darjah
Perkembangan emosi dan sosial yang sihat sangat penting dalam kehidupan
seseorang. Aspek ini akan mempengaruhi pembelajaran murid dan membolehkan murid
belajar mengawal emosi, pemikiran dan tindakan supaya dapat menyesuaikan diri
dalam bilik darjah.
Perkembangan Sosioemosi bermula dengan kebolehan murid memahami dan
menguruskan emosi sendiri dan membolehkan murid memahami keperluan, emosi dan
pandangan orang lain untuk membina kemahiran sosial di dalam kelas yang
mempunyai latar belakang majmuk yang mesra dan harmoni.
Peranan guru sangat penting dalam pengurusan sosioemosi dengan memberi penekanan
kepada kebolehan dan keyakinan murid untuk berinteraksi dengan rakan di dalam
kelas terutamanya bagi sebuah kelas yang mempunyai murid yang berbeza budaya
dan latar belakang .
Teori-teori Pengurusan Sosio-emosi:
Bandura berpendapat bahawa perkembangan emosi kanak-kanak diperoleh
dengan cara peniruan. Beliau berpendapat kanak-kanak meniru tingkah laku emosi
yang diperhatikannya dan melakukan gerak balas yang tidak pernah dibuatnya
dahulu. Cara kanak-kanak menyatakan emosinya bergantung kepada apa yang telah
dipelajarinya mengenai penerimaan oleh masyarakat, cara yang paling
mendatangkan kepuasan dan yang telah dipelajarinya untuk mendapatkan sesuatu
dengan paling mudah dan cepat.
Teori Erik Erikson pula menekankan kepentingan hubungan sosial dengan
individu-individu di persekitaran kanak-kanak. Menurut Erikson, personaliti
seseorang kanak-kanak dibentuk hasil daripada perkembangan psikososial ini..
Kejayaan atau kegagalan mencapai matlamat atau menyelesaikan krisis
perkembangan akan membawa akibat kepada imej kendiri seseorang individu.
2.3 Strrategi
Pengajaran Dalam Pengurusan Sosio-emosi Belajar Melalui Bermain:
Tahukah “Belajar melalui bermain” adalah salah satu strategi pengajaran
yang dapat memberi perhatian kepada sosio-emosi pelajar dalam kelas pelbagai
budaya. Belajar melalui bermain adalah pendekatan yang terancang dan
berstruktur bagi memberi peluang kepada murid belajar dalam suasana yang
menggembirakan dan bermakna. Pendekatan belajar melalui bermain diberi
penekanan khusus dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana bermain adalah
fitrah kanak-kanak. Melalui bermain mereka gembira dan senang hati membuat
penerokaan, penemuan pembinaan melalui pengalaman langsung secara semula jadi.”
[Huraian Kurikulum Prasekolah Kebangsaan, 2003]
Belajar Melalui Bermain adalah antara strategi yang boleh digunakan oleh
seorang guru untuk menggalakkan interaksi sosial dan mengawal emosi murid
secara semula jadi. Bermain adalah proses spontan yang dapat menghasilkan
pengalaman, pembelajaran dan kemahiran. Bermain membenarkan kanak-kanak
melakukan aktiviti yang kreatif. Bagi kanak-kanak yang sedang membesar, bermain
adalah satu keperluan. Melalui bermain kanak-kanak dapat belajar pelbagai
perkara dan ia dikenali sebagai pembelajaran tidak formal.
Froebel (1782 – 1852) pernah mewujudkan program kindergarten 1 di Jerman
untuk kanak-kanak yang berumur 4 hingga 5 tahun berkonsepkan ‘bermain sambil
belajar’. Beliau percaya proses pembelajaran yang paling berkesan adalah
sesuatu aktiviti yang menggembirakan. Bermain adalah salah satu aktiviti yang
menggembirakan. Dengan bermain kanak-kanak dapat meningkatkan kemahiran.Manakala
Dewey (1852 – 1859) pula menggalakkan proses pembelajaran melalui prinsip
belajar melalui bermain di mana aspek keseronokan merupakan hak bagi setiap
kanak-kanak.
2.4 Kepentingan
Pengurusan Sosio-emosi
Guru perlu mengurus
sosio-emosi murid-muridnya secara berkesan kerana kegagalan guru berbuat
demikian akan memberi impak kepada pencapaian murid. Antara aspek akan berlaku
dalam pengurusan sosio-emosi terdiri daripada berikut:
a) Proses pengajaran dan pembelajaran akan
terganggu.
b) Iklim bilik darjah tidak kondusif akan memberi
kesan yang buruk terhadap prestasi kesuluruhan
c)
Memberi tekanan mental kepada murid dan guru
d)
Murid
rasa tergangggu dan tidak selesa
e)
Murid sukar memberi tumpuan kepada pengajaran
dan pembelajaran
2.5 Rumusan
Topik ini
membincangkan mengenai pengurusan
sosio-emosi pelajar dan kepentingannya seseorang
guru dapat menguruskan sosio-emosi pelajar dalam bilik darjah yang terdiri
daripada masyarakat majmuk. Antara aspek
–aspek penting adalah berikut:
· Sosioemosi dalam
kalangan kanak-kanak ditakrifkan sebagai satu proses berinteraksi dan
mengadaptasi diri dalam masyarakat.
· Peranan guru sangat
penting dalam pengurusan sosioemosi dengan memberi penekanan kepada kebolehan
dan keyakinan murid untuk berinteraksi dengan rakan di dalam kelas pelbagai
budaya
· Belajar Melalui
Bermain adalah antara strategi yang boleh digunakan oleh seorang guru untuk
menggalakkan interaksi sosial dan mengawal emosi murid secara semula jadi. Ia amat bermakna dalam membantu mengeratkan hubungan antara murid
pelbagai latar belakang
·
Pengajaran dan
pembelajaran akan terganggu dan tekanan mental akan dihadapi pelajar jika keadaan sosio-emosi tidak diurus dengan baik
oleh guru.
Di bawah adalah senarai teks bacaan dan buku rujukan yang digunakan. Teks Bacaan Asas Woolfolk,A. (2004). Educational Psychology. Boston: Allyn & Bacon Rujukan Jones, B. F. (1995). Comprehensive classroom management: Creating Positive Learning Environments for all Students. Mass: Allyn & Bacon. |