Daisypath Vacation tickers

Daisypath Vacation tickers

Thursday 16 May 2013

TOPIK 7 SOSIOLINGUISTIK

TOPIK 7

SOSIOLINGUISTIK



Dalam topik ini, anda akan diberi pendedahan  mengenai peranan  bahasa  dalam  pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah serta masyarakat.  Tambahan pula, topik ini juga  ketengahkan  kepelbagaian bahasa yang sedia ada di Malaysia serta peranan  guru dalam  menyatukan  pelajar  yang terdiri daripada pelbagai budaya dan bahasa.  

7.1   Peranan Bahasa  dalam  Masyarakat  Pelbagai Budaya

Guru menggunakan bahasa untuk menyampaikan pengajarannya. Guru juga menggunakan bahasa untuk membimbing dan menasihati murid-muridnya.  Malaysia merupakan sebuah Negara yang mempunyai rakyat yang  terdiri daripada pelbagai etnik, sehubungan dengan itu, guru-guru perlu memahami latar belakang murid yang diajar terutama faktor budaya yang mempengaruhi perlakuan muridnya samaada perlakuan berbahasa atau perlakuan bukan bahasa.  Penggunaan bahasa sangat berkait rapat dengan latar belakang murid terutama budaya di mana murid itu dibesarkan dan menjalani kehidupannya. 

Bahasa yang dipertutur oleh manusia adalah suatu anugerah  Tuhan kepada manusia kerana dengan bahasa manusia menyampaikan hasrat, meluahkan rasa dan mengemukakan pandangan.  Bahasa merupakan alat perhubungan manusia dalam kehidupan sosialnya sejak manusia dicipta oleh Tuhan.  Maka, keupayaan manusia berbahasa perlu disyukuri kerana  bahasa sebagai alat penting kepada  manusia sehingga manusia mampu menjalani kehidupan bermasyarakat dengan sempurna.    Bahasa menyampaikan makna dalam kehidupan sosial dan apabila digunakan dalam konteks komunikasi, bahasa dikaitkan dengan budaya yang pelbagai dan kompleks.  Manusia mengungkap kata-kata berdasarkan pengalamannya yang menyampaikan fakta, idea dan peristiwa yang merujuk kepada pengetahuan mereka tentang dunia yang dikongsi bersama.  Kata-kata yang diungkapkan menggambarkan sikap, kepercayaan, fahaman, dan pandangan dan sekali gus bahasa sebenarnya suatu realiti budaya.  Manusia menggunakan bahasa bukan sekadar untuk membuktikan pengalaman yang dilalui, sebaliknya bahasa yang dipertutur mencipta pengalaman yang baharu apabila bahasa mampu menjadi medium perhubungan antara manusia.   

Penerangan di atas telah menjelaskan kepada anda peranan bahasa dalam kehidupan masyarakat.  Jadi, apakah yang anda faham tentang sosiolinguistik?  Kebanyakan tokoh bahasa di dalam dan  di luar Negara bersetuju bahawa ilmu sosiolinguistik ialah bidang pengkajian hubungan manusia dengan bahasa.   Dalam konteks Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi yang tuturkan oleh rakyat Malaysia, namun begitu, Malaysia mempunyai pelbagai jenis bahasa  etnik yang masing-masing membawa identiti budaya yang tersendiri.  Walau pun bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi  yang menjadi bahasa  pengantar rakyat pelbagai kaum di Malaysia, namun pelbagai etnik Malaysia dibenarkan bertutur dalam bahasa masing-masing tanpa sebarang sekatan. 


7.2  Kepentingan  Penggunaan  Satu Bahasa Pengantar

Kita telah mengetahui bahawa Malaysia memiliki pelbagai etnik, pelbagai bahasa serta pelbagai budaya dan hal ini merupakan cabaran terbesar kepada Negara dalam membina rakyat bersatu padu.  Sehubungan dengan itu, pemimpin Negara sejak zaman sebelum mencapai kemerdekaan lagi telah nampak isu bahasa dan etnik ini dan oleh kerana itu sekiranya anda mengkaji Laporan-Laporan berhubung Pendidikan anda akan ketahui bahawa kesemua Laporan menekankan aspek penggunaan bahasa kepada rakyat Tanah Melayu.  Hal ini menunjukkan bahawa sosiolinguistik di Malaysia bukanlah perkara mudah dan tidak perlu diberi perhatian sewajarnya, sebaliknya, sosiolingistik merupakan bidang yang sangat penting dalam menentukan tahap keharmonian dan keamanan Negara.

Apakah pentingnya penggunaan satu bahasa sebagai bahasa pengantar kepada sebuah Negara seperti Malaysia?

Dalam laporan Cheesman (1946) didapati bahawa di dalam satu kelas di sebuah kelas sekolah Inggeris, terdapat murid-murid pelbagai etnik yang menuturkan hampir sebelas jenis bahasa.  Seandainya, murid-murid ini tidak menguasai satu bahasa yang sama sebagai bahasa pengantar, maka pasti guru berhadapan dengan masalah untuk menyampaikan pengajarannya dan murid tidak akan memperoleh ilmu, apa lagi untuk menyatupadukan mereka.

Sedarkah anda bahawa perbezaan bahasa membawa kepada perbezaan budaya dan perbezaan budaya yang ketara tidak akan membawa perpaduan antara kaum atau etnik?  Sehubungan dengan itu, Laporan Barnes pada tahun 1950 mencadangkan penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu sahaja di semua sekolah kebangsaan.  Barnes juga mencadangkan pemansuhan sekolah vernacular Cina dan Tamil tetapi ditentang kuat terutama  oleh kaum Cina kerana khuatir penutupan sekolah Cina sedia ada.  Rentetan tersebut berterusan dengan Laporan Fenn-Wu 1951 dan seterusnya pada 1956 Laporan Razak yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah.  Ordinan Pelajaran 1957 diluluskan bagi melaksanakan usul Laporan Razak di mana perancangan pendidikan dirangka meliputi semua kaum di Tanah Melayu dan ini merupakan asas perkembangan pendidikan seterusnya di Malaysia.  

Seterusnya dalam Laporan Rahman Talib 1960 adalah bukti betapa kerajaan bersungguh-sungguh membentuk satu sistem pendidikan yang bersifat kebangsaan sebagai usaha menyatupadukan rakyat Malaysia.  Seterusnya dalam Akta 1961 termaktab Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menggariskan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama untuk semua peringkat pendidikan dengan mengguna pakai kurikulum dan peperiksaan yang sama untuk semua murid.


7.3   Peranan Guru  dalam  Aspek  Sosiolinguistik

Guru memainkan peranan yang sangat penting untuk membentuk jati diri murid yang menghayati bahasa rasmi dan budaya nasional di samping menerap nilai-nilai menghormati perbezaan bahasa dan budaya menurut etnik.

Bagaimanakah guru mampu memainkan peranan dalam memartabatkan bahasa Kebangsaan dengan membentuk rakyat yang mempunyai jati diri sebagai rakyat Malaysia dan pada waktu yang sama mengekalkan pelbagai warisan budaya etnik?

Antara peranan yang dimainkan oleh guru ialah mengadakan pelbagai aktiviti bahasa, sastera dan budaya dalam kalangan murid-muridnya.  Aktiviti yang memartabatkan bahasa Kebangsaan boleh dilakukan di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah.  Selain aktiviti pengajaran dan pembelajaran, kegiatan kokurikulum adalah saluran terbaik untuk memartabatkan Bahasa kebangsaan  melalui kepelbagaian aktiviti dan projek yang kreatif, menyeronokkan serta memanfaatkan murid. Bagi mengekalkan warisan budaya dan bahasa kepelbagaian etnik di Malaysia, guru boleh menyelitkan unsur-unsur warisan budaya etnik-etnik lain dengan menggunakannya sebagai sumber pengajaran dan pembelajaran, contohnya,  menggunakan cerita rakyat etnik Iban dalam pengajaran Bahasa Melayu, menggunakan lagu etnik Kadazandusun dalam pengajaran dan pembelajaran muzik,  menggunakan tarian India dalam Pendidikan Jasmani. 

Malahan pelbagai permainan tradisional milik etnik-etnik ini dapat digunakan sebagai pendekatan “Games based learning” dalam pengajaran dan pembelajaran.  Penggunaan sumber P&P dengan menggunakan kepelbagaian unsur budaya bukan sahaja memupuk kesefahaman kalangan murid yang tediri daripada pelbagai etnik, malahan ruang tersebut akan mendorong murid memahami dan menguasai kosa kata bahasa etnik rakan-rakan mereka.  Sekiranya guru mampu meneruskan dan mentadbirkan hal ini dengan berkesan, setiap etnik tidak berasa tersisih, sebaliknya menjadikan Malaysia kaya dengan variasi bahasa dan budaya.


3.3   Rumusan

Topik ini membincangkan mengenai  aspek sosiolinguistik di Malaysia dan . Antara  aspek –aspek penting adalah berikut:

  • Malaysia merupakan sebuah negara pelbagai kaum yang  mempunyai pelbagai bahasa
  • Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi yang tuturkan oleh rakyat Malaysia.
  • Demi menyatupadukan rakyat Malaysia, beberapa dasar digariskan antaranya Akta 1961 yang termaktub Dasar Pendidikan Kebangsaan di mana bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama untuk semua peringkat pendidikan dengan mengguna pakai kurikulum dan peperiksaan yang sama untuk semua murid.
  • Guru perlu memainkan peranan dengan mengadakan pelbagai aktiviti bahasa, sastera dan budaya dalam kalangan murid-muridnya.  Aktiviti yang memartabatkan bahasa Kebangsaan boleh dilakukan di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah.   

Di bawah adalah senarai teks bacaan dan buku rujukan yang digunakan.

Teks Bacaan Asas

Muhamad Kamarul Kabilan & Zaharah Hassn.(2005). Readings on ethnic relations in a

multicultural society. Serdang: Universiti Putra Malaysia.


Rujukan


Woolfolk,A. (2004). Educational Psychology. Boston: Allyn & Bacon

No comments:

Post a Comment