Daisypath Vacation tickers

Daisypath Vacation tickers

Tuesday 14 May 2013

TOPIK 6 PEDAGOGI KELAS BERCANTUM



TOPIK 6

PEDAGOGI  KELAS BERCANTUM 


Fikirkan tentang  pengalaman peribadi yang pernah anda melalui mengenai keperluan untuk merancang bagi mengajar sebuah kelas bercantum. Contohnya, merancang untuk mengajar satu pelajaran kelas bercantum. Apakah ciri-ciri biasa yang  terkandung dalam pedagogi kelas bercantum?  

Sekarang  kita  akan  meneliti  cara bagaimana mengelolakan sesi pengajaran untuk kelas bercantum


6.1 Sejarah dan Konsep Kelas Bercantum

Setiap murid di negara ini perlu diberikan peluang untuk  memperoleh pendidikan selaras dengan pendemokrasian pendidikan. Oleh sebab terdapat banyak sekolah kurang murid di pedalaman, kelas bercantum diadakan.  Di samping itu, bilangan guru di sekolah-sekolah tersebut juga adalah sedikit dan dengan itu, perlu mengajar lebih daripada satu kelas pada masa-masa tertentu.

Sejarah kelas bercantum telah bermula sejak penjajahan British di negara ini di mana ia dikenali sebagai Multiple Class Teaching.  Multiple Class Teaching  dijalankan di Lower Primary School ketika itu oleh sebab keadaan bilangan guru yang sangat minima dan kemudahan asas seperti bilik darjah dan papan tulis tidak mencukupi.

Konsep Kelas Bercantum

Konsep kelas bercantum merujuk kepada kelas-kelas di sekolah rendah yang mengandungi murid-murid yang umurnya hampir sebaya; misalnya tahun satu dan dua, tahun tiga dan empat serta tahun  lima dan enam. 

Kelas bercantum “sebagai satu bentuk pengajaran yang mana seorang guru mengajar murid-murid terdiri daripada beberapa gred atau lebih daripada satu gred di dalam sebuah bilik darjah.” (UNESCO, 1988). 

Berasaskan pernyataan di bawah, cuba bincang dengan rakan anda bagaimana boleh berlaku?

a.    Kalau enrolmen tahun / darjah berkenaan ada 10 orang murid atau lebih, kelas tidak perlu dicantum.
b.    Kalau bilangan guru mencukupi, kelas tidak perlu dicantum.
c.    Kalau bilangan guru tidak mencukupi dan bilangan murid adalah 10 orang atau kurang, kelas perlu dicantum.
d.    Seelok-eloknya satu kelas bercantum tidak melebihi 20 orang murid.
e.    Umur murid-murid dalam satu kelas bercantum perlulah hampir sama dan dari tahap yang sama, misalnya darjah satu dan dua atau darjah dua dan tiga.


6.2       Ciri-ciri Kelas Bercantum
·         Kelas ini wujud di sekolah rendah sahaja.
·         Murid-murid berbeza peringkat umur dan tahun persekolahan
·         Bilangan murid kurang daripada 10 orang dan dengan itu, tidak membolehkan satu kelas biasa dibuka.
·         Guru mengajar lebih daripada satu tahun persekolahan kerana peruntukan guru mengikut bilangan kelas.
·         Strategi pengajaran dan pembelajaran berbeza daripada kelas biasa.


Anda perlu ketahui bahawa tugas mengelola kelas-kelas bercantum banyak memerlukan  persediaan dan pendekatan yang mahir daripada pihak guru. Kemahiran “multi task” atau  keterampilan guru diperlukan supaya dapat menimbulkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.


6.3  Pedagogi  Kelas Bercantum

Dalam situasi pengajaran secara kelas, konsep kepelbagaian murid perlu diambil kira kerana setiap murid mempunyai daya tanggapan, imaginasi, minat dan konsentrasi yang berbeza-beza walaupun mereka dalam kumpulan umur yang sebaya. Oleh itu murid-murid di bawah jagaannya lebih sesuai dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil. Prinsip-prinsip pecahan kepada kumpulan adalah seperti berikut :

(a)      Kumpulan Sama Kebolehan
(b)      Kumpulan Pelbagai Kebolehan
(c)      Kumpulan Tahun Persekolahan
(d)      Kumpulan Sosial
(e)      Kumpulan Individu


Kumpulan Sama Kebolehan

Kumpulan yang sama kebolehan ini dikenali sebagai kumpulan akademik. Pelajaran seperti matematik dan bahasa amatlah sesuai diajar mengikut kumpulan ini. Guru memerhati dan mencatat pencapaian murid-murid dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran dan kemudian secara berhati-hati membahagikan murid-murid pada kumpulan-kumpulan tertentu. Pembahagian murid-murid kepada kumpulan-kumpulan yang lemah. Cara pembahagian begini akan lebih cenderung membawa kepada bilangan murid-murid dalam kumpulan sederhana adalah lebih ramai daripada murid-murid dalam kumpulan cerdas dan lemah. Guru hendaklah lebih menitikberatkan keperluan kumpulan yang lemah ini.



Kumpulan Pelbagai Kebolehan

Kumpulan ini terdiri daripada murid-murid yang pelbagai kebolehan. Kalau murid-murid dibahagikan mengikut kumpulan ini, dalam tiap-tiap kumpulan itu nanti terdiri daripada murid-murid yang berkebolehan dalam pelbagai aktiviti, ada yang pandai membaca, ada yang pandai melukis, ada penulis dan ada juga yang aktif dalam kerja-kerja praktikal. Murid yang cerdas dapat membantu murid yang lambat. Biasanya kumpulan ini dibentuk untuk menjalankan satu-satu projek. Oleh itu kumpulan yang mempunyai pelbagai kebolehan dapat menghasilkan kerja projek yang berjaya. Lembaran kerja pula disediakan mengikut kebolehan individu.


Kumpulan Tahun Persekolahan
Guru mengajar satu tahun tertentu, manakala masa yang sama kumpulan tahun persekolahan lain melakukan kerja sendiri. Sesuai bagi kemahiran yang berbeza. Setiap darjah ada kumpulan:
§    lambat
§    sederhana
§    cerdas

Guru mengajar mengikut darjah secara  bergilir. Sediakan lembaran kerja untuk semua  kumpulan.

Kumpulan Sosial

Kumpulan ini berbeza dengan Kumpulan Aktiviti dan Kumpulan Pelbagai Kebolehan kerana kumpulan ini dibentuk berdasarkan kepada penyesuaian kanak-kanak itu sendiri. Di sini kanak-kanak diberi peluang memilih kumpulan-kumpulannya sendiri. Jenis-jenis aktiviti yang dibuat biasanya termasuklah permainan, pelajaran muzik, drama atau pelajaran bercorak rekreasi dan kerehatan.

Kumpulan Individu
Kaedah ini boleh digunakan setelah semua kumpulan murid telah melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran. Guru mengambil kesempatan untuk membimbing secara individu.



6.4  Rancangan Pengajaran Kelas Bercantum

Pengubahsuaian Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran.
Guru-guru yang terlibat dalam kelas bercantum perlu sedar sukatan pelajaran yang disediakan oleh PPK adalah untuk kegunaan kelas biasa. Sukatan Pelajaran tersebut perlu diubahsuai supaya selaras dengan kehendak murid-murid dalam kelas bercantum.

Guru yang mengajar kelas bercantum Tahun 4 dan 5 perlu meneliti isi kandungan sukatan pelajaran bagi kedua-dua tahun tersebut dan membuat penyesuaian bagi setiap mata pelajaran supaya dapat diajar serentak. (rujuk Rancangan Pengajaran Harian)

Mata pelajaran dan tajuk yang sama boleh diajar serentak mengikut prinsip-prinsip kelas bercantum. Guru perlu mengubahsuai jadual waktu supaya mata pelajaran berkenaan dapat diajar dengan serentak. Namun jika dua tajuk berlainan terpaksa diajar pada satu masa, kaedah pengajaran kumpulan perlu dititikberatkan.  





4.2   Rumusan



Diambil daripada : Modul BPG(2007). Kelas Bercantum.

Penyediaan Rancangan Pengajaran Harian Kelas Bercantum
      
Rancangan Pengajaran Harian merupakan satu rekod yang sangat penting bagi guru berdasarkan surat pekeliling K.P Bil.256/1961. Rancangan Pengajaran Harian sangat penting kerana

a)    ia sebagai satu rujukan persediaan pelajaran harian.
b)    ia dapat menentukan kemajuan sesuatu kelas dalam pelbagai mata pelajaran.
c)    ia sebagai panduan berkenaan kemajuan dan prestasi sesorang murid.
d)    dapat menyemak tugasan-tugasan yang sudah atau belum selesai dalam rancangan untuk setahun.
e)     sebagai panduan dan membantu guru-guru lain yang mengambil alih mengajar sesuatu darjah.

Rancangan Pengajaran Harian terus dianggap sebagai rujukan penyediaan pelajaran harian tetapi lebih menekankan kepada pendekatan yang menyeluruh dan saling berkaitan bagi kedua kelas yang dicantumkan.


Kita telah sampai ke akhir topik mengenai perancangan untuk mengajar. Mari kita membuat ringkasan isi penting dalam topik ini.:

  • Kelas bercantum merujuk kepada kelas-kelas di sekolah rendah yang mengandungi murid-murid yang umurnya hampir sebaya; misalnya tahun satu dan dua, tahun tiga dan empat serta tahun  lima dan enam

  • Antara ciri-ciri kelas  bercantum adalah kelas ini wujud di sekolah rendah sahaja, murid-murid berbeza peringkat umur dan tahun persekolahan; bilangan murid kurang daripada 10 orang dan dengan itu, tidak membolehkan satu kelas biasa dibuka, guru mengajar lebih daripada satu tahun persekolahan kerana peruntukan guru mengikut bilangan kelas dan strategi pengajaran dan pembelajaran berbeza daripada kelas biasa.

  • Prinsip-prinsip pecahan kepada kumpulan adalah seperti berikut : kumpulan Sama Kebolehan; kumpulan Pelbagai Kebolehan; kumpulan Tahun Persekolahan; kumpulan sosial; kumpulan individu

  • Rancangan Pengajaran Harian merupakan satu rekod yang sangat penting bagi guru kerana merupakan rujukan untuk  persediaan harian dan pendekatan yang menyeluruh dan saling berkaitan bagi kedua kelas yang dicantumkan


Di bawah adalah senarai teks bacaan dan buku rujukan yang digunakan

Teks Bacaan Asas  Rujukan
Arends, R.I. (2001). Learning To Teach. Boston : McGraw Hill.
 Anthony Candia, (1989), Pengurusan Bilik Darjah Dalam Konteks Kelas Bercantum.         
 Asmah bt. Hj Ahmad, (1989),  Pedagogi 2, Siri Pendidikan Logman.          
Kementerian Pelajaran malaysia, (1982),  Buku Panduan Khas Kelas Bercantum  Kurikulum Baru Sekolah Rendah.
 Kementerian Pendidikan Malaysia, (1980 - pindaan, 1982), Pusat Perkembangan Kurikulum,       Kementerian Pelajaran Malaysia, Panduan Kelas Bercantum.
 Bahagian Pendidikan Guru.(2007). Modul  Kelas Bercantum. Putrajaya. 

TOPIK 5 PEDAGOGI RELEVAN BUDAYA DAN KEPELBAGAIAN KELOMPOK

TOPIK 5

Pedagogi  Relevan Budaya dan Kepelbagaian kelompok (Cultural and Indigeneous relevant pedagogy)



Topik ini membincangkan  pedagogi  relevan budaya  di mana strategi –strategi yang sesuai diguna dalam pengajaran dan pembelajaran  dalam bilik darjah pelbagai budaya.  Tambahan pula, peranan guru dalam menangani  cabaran  dalam memilih pedagogi relevan  budaya  untuk  pelbagai kelompok  etnik dalam  bilik darjah turut diketengahkan.

5.1   Konsep Pedagogi Relevan Budaya

Sebagai seorang guru berkesan dalam abab ke 21 ini, adalah penting kita sebagai pendidik untuk memahami konsep kepelbagaian pelajar (perbezaan individu). Kesedaran dan kefahaman kosep kepelbagaian pelajar ini harus melewati bukan hanya mengenal dan mentafsir konsep sahaja tetapi boleh mencerakin serta mengambil kira keunikan perspektif budaya dan sosial. 
Malaysia sebuah negara pelbagai budaya, guru perlu peka kepada pengajaran  seperti dinyatakan Gay (2000)  “culturally responsive teaching as using the cultural knowledge, prior experiences, and performance styles of diverse students to make learning more appropriate and effective for them; it teaches to and through the strengths of these students”. Ulasan yang utarakan Gay memberitahu bahawa kita perlu ambil perhatian guru-guru bagi menghadapi murid-murid berlatarkan pelbagai budaya. Rasionalnya supaya suasana pengajaran dan pembelajaran lebih optima dan berkesan bagi semua murid.


5.2   Tujuan  Pedagogi Relevan Budaya

Guru seperti kita perlu memahami  hakikat bahawa perlaksanaan pedagogi mereka dalam bilik darjah murid pelbagai budaya memerlukan mereka hadapi situasi pengajaran dengan keperihatinan sosial budaya. Guru perlu beri perhatian terhadap konsep ini dengan pertimbangan bijak supaya pengelolaan, pengurusan dan pengajaran mereka mengambil kira sensiviti budaya.

Guru yang peka dan pandai mengolah pengajaran dan pembelajaran pelbagai budaya harus berinteraksi dengan lebih positif dapat memupuk kebangaan budaya masing-masing bagi memangkin kematangan intelek.  “Culturally relevant pedagogy calls for instruction to be made relevant to the student by finding an intersection between (a) the student’s knowledge and skills and (b) school’s knowledge and skills by engaging the student in active investigations so she can discover the connections between what she knows and what teachers want her to know” (Lee 1992). Pengajaran relevan budaya membantu kesefahaman dan permuafakatan antara guru dan murid supaya kesepaduan perolehan ilmu, kemahiran dan sikap yang holistik boleh mencapai hasrat dikehendaki oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Rukunegara.

Definisi :

Untuk memahami pedagogi relevan budaya, terminologi ini mula diambil perhatian oleh Gloria Ladson-Billings (1994) menyatakannya sebagai “a pedagogy that empowers students intellectually, socially, emotionally, and politically by using cultural referents to impart knowledge, skills, and attitudes.”1

Apabila kita bertugas di sekolah yang ada murid daripada latar belakang budaya yang berbeza, guru seperti anda seharusnya menjadi pengantara persekitaran sekolah dan rumah murid. Guru yang mengajar dalam situasi budaya berbeza harus mengunakan ciri-ciri perbezaan budaya, latar belakang, pengetahuan dan pengalaman pelajar untuk mengukuhkan pengajaran dan pembelajaran.


5.3   Ciri-ciri Pedagogi Relevan Budaya

Selepas kita telah dan fahami konsep dan tujuan pedagogi relevan budaya, cuba anda bincang dengan rakan anda mengenai soalan   “Apakah ciri-ciri pedagogi relevan budaya ?” Selepas berbincang, sila senarai ciri – ciri pedagogi relevan budaya.

Bandingkan ciri-ciri yang anda berikan dengan pernyataan yang diberikan oleh Guittierez (1994) dan Ladson-Billings (1994) yang diberikan :

  1. Pembelajaran lebih berkesan apabila murid menyebati pengetahuan, konsep, procedur, kemahiran dan strategi yang mereka pelajari daripada situasi pelbagai budaya ke dalam kesepaduan ilmu dan nilai tanpa prejudis budaya lagi.
  2. Ia adalah mustahak bagi murid  memahami latar belakang mereka yang berlainan budaya, proses aktif pembelajaran rentasi budaya walaupun belajar dalam kepelbagaian tetapi ia menyatupadukan ilmu pengetahuan..
  3. Selain daripada membantu pelajar perolehi pengetahuan, pedagogi relevan budaya beri motivasi murid belajar secara konstektual, iaitu mengambilkira pengalaman murid yang berbeza.

5.4  Strategi pengelolaan Pedagogi Relevan Budaya.

Sekiranya anda hadapi murid  daripada pelbagai budaya, nescaya anda perlu mengambil perhatian terhadap kepelbagaian / perbezaan individu dalam bilik. Guru perlu merancang seterus mengelola pengajaran dengan mengambil kira  aspek berikut :

Kaedah dan Teknik Pengajaran dan Pembelajaran

Guru yang mengelolakan pedagogi dalam bilik darjah pelbagai budaya harus melihat pengajaran sebagai “an art rather than a science” supaya guru seperti anda berfikiran kreatif dan boleh menyesuaikan diri dengan murid pelbagi budaya. Guru juga mempunyai pandangan bahawa semua murid boleh belajar dan mencapai kejayaan. Anda juga boleh berhubung dan berkomunikasi dengan ibu bapa murid berlainan budaya. Mempunyai sifat mudah mesra dengan murid dan sentiasa bersedia berkongsi maklumat, pengetahuan, kemahiran dengan murid pelbagai budaya. Anda yang mengajar kelas yang terdapat murid pelbagai budaya perlu mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran anda dengan mengambil kira konsep perbezaan individu. Sebagai contoh guru  digalakkan gunakan kaedah dan teknik berikut:

  1. Kaedah pembelajaran kolaboratif dan koperatif
Guru yang mengunakan strategi pemusatan murid ini, mengalakkan murid berbincang dan sesi buzz melibatkan ahli-ahli kumpulan pelbagai budaya. Contohnya dalam kumpulan perbincangan ahli kumpulan terdiri daripada Ahmad, Seng Yan dan Kumaran.  Murid digalakkan berinteraksi dan bekerjasama dalam suasana hormat-menghormati. Sesi pembentangan perlu mempamirkan kejayaan semangat pasukan dan setiakawan. Guru perlu memudahcara letusan idea ahli kumpulan, memberi penghargaan secara kolektif melambangkan harmoni sesuatu kumpulan pelbagai budaya. Kolaboratif dan koperatif perlu dipupuk diperingkat sekolah rendah lagi bagi mendapat persekitaran pembelajaran yang sihat dan boleh menyatu-padukan murid pelbagai budaya dalam kelas

  1. Penemuan
Guru merancang pengajaran melalui penemuan, contohnya bagi Tajuk : Budaya masyarakat majmuk. Rusnah dan Fauziah diberi tajuk : Budaya Orang China, Ah Seng dan Ah Hai diberi tajuk : Budaya Orang India dan Sarojini dan Selvarani diberi tajuk : Budaya Orang Melayu. Strategi rentas budaya mengkehendaki pelajar meneroka dan membina pengetahuan serta pengalaman supaya faham budaya orang lain, Sesi pembentangan mereka dikukuhkan dengan terdapat perkongsian maklumat dengan murid lain dari pelbagai budaya memberi maklumat, hurai atau memperbaiki persepsi budaya masing-masing

  1. Projek
Kaedah ini memerlukan pembinaan kumpulan yang terdiri daripada murid pelbagai kaum dan budaya. Tajuk yang sesuai dan melambangkan kepelbagaian budaya diberi keutamaan. Contohnya murid diberi tajuk: Adat Perkahwinan. Ahli kumpulan terdiri daripada bangsa berbeza supaya mereka boleh kongsi pengalaman dan buat kerja lapangan di komuniti yang berbeza. Murid boleh mendapat sumber pengetahuan terus daripada kaum yang mengamalkan budaya yang berbeza. Apa yang selalu kita perhatikan murid kaum tertentu hanya akan buat projek berkaitan dengan bangsa sendiri tanpa ada rentasan budaya.



Guru seperti anda harus menerima konsep perbezaan individu dan menterjemahnya semasa pengajaran dan pembelajaran. Sebagai contoh semasa mengajar kemahiran bacaan terdapat guru yang tidak perihatin terhadap bahan bacaan yang tidak mesra budaya. Bahan bacaan yang merujuk sesuatu budaya secara berat sebelah (bias) boleh membawa konflik permikiran murid. Sesuatu program bacaan yang berkesan harus rapatkan perbezaan budaya dan memberi murid ruang berfikir secara positif perbezaan budaya. Anda sebagai guru yang menjiwai pedagogi pelbagai budaya harus :

http://www.umich.edu/~medal/_themes/poetic/poebul1a.gif
 Memilih bahan bacaan yang boleh dikaitkan dengan pengalaman setiap murid dalam bilik darjah anda.
http://www.umich.edu/~medal/_themes/poetic/poebul1a.gif
Menguasai pelbagai strategi pengajaran pembelajaran.
http://www.umich.edu/~medal/_themes/poetic/poebul1a.gif
Ketahui dan memahami perkataan / ayat yang boleh menyinggung budaya murid.
http://www.umich.edu/~medal/_themes/poetic/poebul1a.gif
Wujudkan atau cari bahan bacaan sesuai dengan budaya setiap murid.
http://www.umich.edu/~medal/_themes/poetic/poebul1a.gif
Galakkan murid membaca dan memahami  bahan rentas budaya.



Perkembangan teknologi mempengaruhi pengajaran dan pembelajaran, Integrasi teknologi maklumat ke dalam pengajaran dan pembelajaran juga harus mengambil kira perbezaan individu terutama dari segi sosial dan budaya.Teknologi amat membantu pengajaran dan pembelajaran, guru peka terhadap pengajaran berasaskan komputer sesuai dengan budaya pelajar. Pembelajaran berasaskan komputer perlu memaparkan persekitaran budaya pelajar secara mesra.

Anda perlu beri fokus kepada perkara tersebut:

(a)      Perkembangan teknologi manfaatkan guru dan murid, ia telah mengubah corak pengajaran dan pembelajaran, guru yang berkesan akan gunakan teknologi membantu pengajaran. Bahan berasaskan computer perlu sesuai dengan budaya pelajar.
(b)      Semua murid perlu diberi peluang dan ruang untuk meneroka alam siber secara luas tetapi guru perlu menerapkan perbezaan individu dan budaya secara positif.

Anda perlu menguasai teknologi untuk membolehkan teknologi membantu anda menguruskan perbezaan demi memanfaatkan pembelajaran murid. Sebagai contoh apabila anda bawa masuk perisian pembelajaran ke dalam bilik darjah perlu semak kandungan perisian tersebut supaya tidak menjejaskan budaya seseorang murid.

Aspek terakhir yang perlu anda beri perhatian dalam konsep pedagogi relevan budaya ialah komunikasi guru yang berkesan. Cuba anda bincang dengan rakan dan senaraikan perkataan atau ayat yang tidak sesuai bagi sesuatu kaum.

Bil
Kumpulan Etnik
Perkataan atau Ayat yang kurang sesuai digunakan semasa Pengajaran  & Pembelajaran






















Secara umumnya guru perlu guna bahasa yang mudah difahami oleh semua murid. Guru harus beri ruang dan peluang bagi murid kemukakan idea daan pendapat. Guru perbetulkan dan menyebut kembali sebut yang salah/pelat. Guru tidak mengajuk/ mentertawa murid pelat sebutan yang melambangkan etnik tertentu. Guru juga perlu berusaha mempelajari dan memahami bahasa ibunda murid yang berlainan etnik.


Rumusan

Kita sudah sampai ke penghujung topik. Mari kita membuat rumusan.tentang apa yang telah dipelajari.

·               Pedagogi relevan budaya merujuk kepada “a pedagogy that empowers students intellectually, socially, emotionally, and politically by using cultural referents to impart knowledge, skills, and attitudes”

·               Salah satu ciri pembelajaran berkesan ialah penyebatian pengetahuan, konsep, procedur, kemahiran dan strategi yang mereka pelajari daripada situasi pelbagai budaya ke dalam kesepaduan ilmu dan nilai tanpa prejudis budaya lagi


·               Antara kaedah/teknik  pengajaran yang sesuai untuk pedagogi relevan budaya termasuk  kaedah  koperatif, penemuan dan  projek.

·               Integrasi teknologi maklumat ke dalam pengajaran dan pembelajaran juga harus mengambil kira perbezaan individu terutama dari segi sosial dan budaya.


Senarai teks bacaan dan rujukan diberikan di bawah.

Teks Bacaan Asas

Gredler, M.E. (2001). Learning and instruction. Theory into practice. 4th Edition. New Jersey: Merrill Prentice Hall.


Rujukan

Burden, P.R. & Byrd, D.M. (1994). Methods for effective teaching. Boston: Allyn Bacon.

Good, T.L.& Brophy, J.E.(1997). Looking in Classrooms. New York: Addison Wesley Educational Inc.

Montgomery,W.(2001). Creating culturally responsive, inclusive classrooms. Teaching Exceptional Children, Vol.33(4) pp 4-9.

TOPIK 4 PENGURUSAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

TOPIK 4

PENGURUSAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN 


Sebagai guru  berpengalaman,  imbas balik “ Apakah yang anda faham dengan pengajaran dan pembelajaran?”  Apakah aspek-aspek yang perlu anda ambil perhatian  sebelum, semasa dan selepas  proses pengajaran  dan pembelajaran.  Pernahkah anda berfikir  cara  terbaik untuk menguruskan pengajaran dan pembelajaran yang baik   dalam bilik darjah yang mesra budaya?  Topik ini akan membincangkan  pengurusan pengajaran dan pembelajaran dengan  fokus  kepada konsep,  dan  peranan  guru dalam mengurus pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

4.1   Konsep  Pengajaran Dan Pembelajaran

“Pengajaran” atau “pedagogi” bermaksud bagaimana seseorang guru menyampaikan pelajaran atau ilmu pengetahuan kepada pelajar-pelajarnya.  Ia merupakan satu proses daripada persediaan untuk mengajar, melakukan pengajaran, menilai kembali apa yang telah diajar serta melakukan tindakan susulan bagi menyempurnakan proses pengajaran itu. Pengajaran juga adalah rancangan guru yang sistematik untuk membimbing pelajar menjalankan aktiviti pembelajaran

Pengajaran juga boleh didefinisikan sebagai rancangan guru yang sistematik untuk membimbing pelajar  menjalankan aktiviti pembelajaran. Santrock J.W dalam bukunya Educational Psychology: A Tool for Effective Teaching menyatakan bahawa pengajaran berkesan bergantung kepada 2 faktor utama iaitu : pengetahuan profesional guru dan komitmen guru yang berupaya merancang pengajaran tersusun dengan cemerlang (excellent instructional planning).

Pembelajaran ialah proses perubahan struktur mental yang membina keupayaan  tingkah laku yang berbeza.  Dari sudut kognitif, pembelajaran boleh berlaku tanpa perubahan tingkah laku yang segera. Perubahan struktur mental yang berlaku melibatkan perubahan skema, kepercayaan, jangkaan dan matlamat.  Proses pembelajaran yang berlaku secara berterusan akan membawa perubahan tingkah laku.  Contohnya, seseorang murid akan mula menguasai kemahiran membaca setelah proses pembelajaran  berlaku secara berulang-ulang dan berterusan.  Penguasaan dan pemahaman terhadap sesuatu fakta akan mudah dikuasai apabila proses pembelajaran dibantu dengan pelbagai bahan bantu mengajar sebagai bahan rangsangan seperti gambarajah, jadual, carta, gambar dan lain-lain alat bantu yang memudahkan murid-murid menghubungkaitkan maklumat.


4.2   Ciri-ciri Guru Berkesan

Salhah Abdullah (2006) dalam bukunya Guru Sebagai Fasillitator menegaskan bahawa ”guru sebagai fasilitator berperanan sebagai perancang, pengurus dan pelaksana perlu berpandukan prinsip pengurusan yang sistematik. Prinsip perancangan perlu tepat diikuti dengan prinsip penyampaian yang sesuai dan disusuli dengan prinsip tindakan yang tepat  ” ( p.43).

“Effective teachers have good command of their subject matter and a solid core of teaching skills. They have excellent instructional strategies supported by methods of goal setting, instructional planning, and classroom management. They know how to motivate, communicate, and work effectively with students who have different levels of skills and come fromculturally diverse backgrounds. Effective teachers also understand how to use appropriate levels of technology in the classroom. “ (Santrock, 2006)

Matlamat pengajaran pula adalah seperti berikut:

          Untuk menyampaikan maklumat berbentuk ilmu pengetahuan
          Membolehkan pelajar menguasai kemahiran kogintif, afektif dan psikomotor.
          Membantu pelajar memiliki nilai dan sikap yang sihat.
          Menggalakkan pelajar berfikir secara kritis dan kreatif.
          Membantu pelajar supaya boleh berdikari


4.3  Konsep  Pembelajaran

4.4  Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran

Pengurusan  melibatkan proses-proses seperti merancang, melaksana, menilai dan membuat tindakan susulan termasuk penambahbaikan. Manakala pengurusan pengajaran dan pembelajaran adalah berkaitan aspek-aspek berikut:

·         Merancang pengajaran dan pembelajaran  dengan berkesan dengan mengambilkira latar belakang murid yang berbeza
·         Melaksana pengajaran dan pengajaran seperti yang telah dirancang dan membuat pengubahsuaian semasa jika perlu
·         Menilai keberkesanan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran
·         Membuat tindakan susulan berdasarkan penilaian yang telah dibuat termasuk membuat penambahbaikan


4.5  Pengurus Pengajaran dan pembelajaran Dalam Kelas pelbagai budaya:

Seorang guru yang mengurus pengajaran dan pembelajaran juga boleh digelar ‘pengurus’. Ciri-ciri seorang pengurus pengajaran dan pembelajaran yang cekap dan berkesan  termasuk :

·         Prihatin dan peka terhadap situasi sekeliling
·         Sistematik dalam merancang dan menilai
·         Penyabar menghadapi kerenah murid pelbagai latar belakang
·         Bijak mengurus masa
·         Berpandangan jauh
·         Bersedia untuk berubah dan fleksibel
·         Berkomuknikasi dengan berkesan


4.6  Peringkat-peringkat pengurusan pengajaran dan pembelajaran

Dalam konteks pengurusan pengajaran dan pembelajaran, peringkat-peringkat pengurusan pengajaran dan pembelajaran adalah berkaitan persediaan guru :
i)              Sebelum proses pengajaran dan pembelajaran
ii)             Semasa proses pengajaran dan pembelajaran
iii)            Selepas proses pengajaran dan pembelajaran


Rajah 1: PENGURUSAN  PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN


Sebelum  proses pengajaran dan pembelajaran
Sebagai seorang guru yang berhadapan dengan murid-murid pelbagai budaya, guru perlu membuat persediaan rapi sebelum memulakan sesi pengjaran dan pembelajaran. Persediaan sebelum pengajaran dan pembelajaran termasuk merancang pelaksanaan pengajaran melalui penulisan Rancangan Pengajaran Harian meliputi aspek-aspek :

§  Hasil pembelajaran yang tepat
§  Kaedah pengajaran yang sesuai dengan kepelbagaian budaya murid
§  Sumber pengajaran yang mencukupi
§  Bahan bantu mengajar yang berkesan
§  Langkah-langkah proses pengajaran yang jelas


(a)  Penggunaan Bahan Bantu Mengajar
                       
Pengurusan pengajaran dan pembelajaran bermula dengan  perancangan dan penyediaan bahan bantu mengajar yang sesuai. Penggunaan alat bantu mengajar  yang sesuai dan berkesan sangat penting untuk membantu guru menerangkan konsep abstrak yang sukar kepada para pelajar. ” Mengguna alat bantu mengajar (ABM) dapat membantu menerangkan sesuatu konsep” (Hiebert, Weame & Taber, 1991; Kozma, 1991). Contoh-contoh bahan bantu mengajar seperti bahan maujud, gambar, pengursan grafik, peta minda, gambarajah, radio, komputer, video, kad imbasan, gambarajah, akhbar, majalah, audio visual, model, prototaip atau bahan-bahan sejarah. Ciri-ciri bahan pengajaran efektif pula berbentuk maujud, praktikal, selamat digunakan dan  guru dapat menggunakan bahan tersebut untuk menerangkan konsep abstrak yang sukar difahami dengan berkesan.

Seorang guru yang kreatif akan menyesuaikan bahan bantu mengajar dengan isi  pelajaran agar murid  mudah menguasai konsep abstrak yang  kompleks. Ini diakui oleh Mayer & Gallini, (1990); “ Guru perlu menerangkan dengan jelas dan memberi contoh-contoh yang berkaitan untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran “.  Manakala Slavin (1994) menyarankan “guru perlu menyediakan pengajaran yang boleh menarik minat dan menyeronokkan pelajar dengan mempelbagaikan kaedah pengajaran dan alat bantu mengajar (ABM).

(b)  Pemilihan Sumber Pengajaran

Guru yang bersedia dengan maklumat dari pelbagai sumber bukan sahaja berjaya memberi penerangan yang jelas kepada pelajarnya tetapi juga mampu membuat perkaitan antara idea-idea, mencadangkan pemikiran baru dan mencabar pelajar untuk berfikir pada aras tinggi . 

Sumber- sumber pembelajaran yang boleh digunakan seperti buku teks, buku rujukan, internet, maklumat akhbar, majalah, rancangan radio dan televisyen, jurnal , prospektus, phamplets and brochures, laporan penyelidikan, statistik rasmi, Akta, Arahan Perbendaharaan termasuk  sumber hasil temubual dan soal selidik. Sumber yang tepat, sesuai, dan mencukupi mampu  mencabar minda pelajar seterusnya  menarik minat mereka untuk memahami isi pelajaran dengan  lebih berkesan.  Semasa merancang pengajaran, saya mendapatkan seberapa banyak  input daripada pelbagai sumber sebelum memulakan  setiap sesi pengajaran .


Semasa  Proses Pengajaran dan Pembelajaran  
             
(a)   Strategi Pengajaran Releven Pelbagai Budaya

Pemilihan strategi pengajaran yang tepat juga mampu membuatkan penyampaian maklumat dan pelaksanaan pengajaran menjadi lebih berkesan terutama aktiviti yang melibatkan interaksi  aktif murid yang terdiri daripada pelbagai budaya dan latar belakang.

Semasa guru melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran guru perlu memastikan   

§  melaksanakan pengajaran seperti yang dirancang
§  mengenalpasti prosedur penilaian pembelajaran murid yang sesuai
§  menerapkan nilai-nilai kepelbagaian budaya dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran
§  menyediakan suasana bilik darjah yang kondusif dari segi psikososial dan fizikal untuk murid-murid yang mempunyai latar belakang berbeza
§  mengurus disiplin murid dengan mengambilkira kepelbagaian kelompok murid
§  mengendalikan aktiviti pemulihan dan pengayaan


Selepas Proses Pengajaran dan Pembelajaran              
  
Seterusnya proses penilaian dan pengukuran perlu dilaksanakan oleh guru untuk mengetahui keberkesanan pengajaran.  Penilaian prestasi merupakan satu proses meliputi aktiviti mengumpul maklumat tentang strategi, aktiviti, hasil dan impak pengajaran dan pembelajaran bagi membuat analisis untuk memastikan pelajar telah menguasai kemahiran yang disampaikan oleh guru. Guru juga dapat merancang aktivti selanjutnya dengan cara yang lebih berkesan dan mengambil tindakan susulan .

Menurut  D. Stufflebeam dalam bukunya “ Educational Evaluation and Decision Making”, beliau telah mentakrifkan penilaian sebagai satu proses menentukan, mendapatkan serta memberikan maklumat yang berguna untuk membuat pertimbangan yang selanjutnya. Gay (1985) pula berpendapat bahawa penilaian ialah satu proses sistematik mengumpul dan menganalisis data  bagi menentukan  sama ada  sesuatu objektif  yang telah ditetapkan itu telah tercapai.

Keberkesanan sesuatu proses pengajaran tidak dapat dipastikan tanpa proses penilaian oleh guru semasa dan selepas pengajaran berlaku. Penilaian dilaksanakan berperanan untuk:

          Mengesan perkembangan penguasaan murid dan mengenal pasti kekuatan dan  kelemahan murid dalam pembelajaran untuk merancang aktiviti pengayaan dan pemulihan
          Mengenal pasti keberkesanan pengajaran guru supaya membolehkan guru memperbaiki pengajaran selanjutnya
          Mengambil tindakan susulan untuk mengatasi kelemahan & meningkatkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran
            meningkatkan keberkesanan pengajaran .

Keputusan peperiksaan penilaian formatif  pula yang dilaksanakan selepas tamat sesuatu tajuk dan  penilaian sumatif yang dilaksanakan secara holistik pada hujung semester dapat menilai pencapaian pelajar. Penilaian prestasi pelajar juga membolehkan guru menilai semula strategi pengajaran dan membuat penambahbaikan. Penilaian menyeluruh pelajar dapat dilakukan melalui data-data pengukuran kuantitatif dan kuanlitatif .

Pengukuran merupakan satu proses sistematik  untuk  mendapatkan maklumat secara kuantitatif untuk menentukan pencapaian murid. Tujuan utama pengukuran adalah untuk membuat pengelasan bagi pencapaian akademik murid dalam pembelajaran dan membuat penambahbaikan kepada kaedah pengajaran guru. Alat pengukuran dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah seperti data kuantitatif hasil daripada ujian bulanan, kuiz,  peperiksaan, temubual murid/rakan sekerja, soal selidik,  senarai semak, rekod anekdot, skala kadar, sosiogram, data pemerhatian dan kajian tindakan. Alat pengukuran yang tepat dalam proses penilaian mampu memberi maklumat berharga kepada guru untuk mengukur pembelajaran pelajar dan menilai keberkesanan pengajaran guru .  Apabila guru memberikan ujian kepada pelajarnya,  guru sebenarnya bukan sahaja sedang mengukur pencapaian pelajarnya tetapi juga mengukur keberkesanan strategi pengajarannya sendiri.
         
Penambahbaikan perlu dilakukan oleh guru setelah melaksanakan penilaian dan pengukuran. Pendekatan Pengajaran Masteri contohnya amat menekankan bahawa guru perlu memastikan murid telah dapat menguasai sesuatu kemahiran sebelum kemahiran yang baru disampaikan. Penambahbaikan berbentuk pemulihan, pengayaan dan penilaian semula kesemua elemen-elemen yang terlibat semasa merancang dan semasa  proses pengajaran dan pembelajaran  berlaku perlu diambilkira oleh seorang guru yang proaktif dan berkesan
                 
Setelah guru selesai menyempurnakan proses pengajaran dan pembelajaran, guru perlu memperuntukkan masa membuat refleksi terhadap pelaksanaan pengajarannya. Langkah ini adalah penting untuk mengkaji keberkesanan pengajaran guru dalam aspek pemilihan strategi pengajaran, penggunaan bahan bantu mengajar, maklumat dan sumber pengajaran, tahap pencapaian murid dan keberkesanan komunikasi guru-murid..


Rumusan

Kita sudah sampai ke penghujung topik. Mari kita membuat rumusan.tentang apa yang telah dipelajari.

·               Pedagogi atau pengajaran merupakan satu proses daripada persediaan untuk mengajar, melakukan pengajaran, menilai kembali apa yang telah diajar serta melakukan tindakan susulan bagi menyempurnakan proses pengajaran itu.

·               Pembelajaran ialah proses perubahan struktur mental yang membina keupayaan  tingkah laku yang berbeza

·               Pengurusan pengajaran dan pembelajaran  melibatkan proses-proses seperti merancang, melaksana, menilai dan membuat tindakan susulan termasuk penambahbaikan terhadap pengajaran dan pembelajaran dengan mengambil  kira  latarbelakang pelajar, dan kepelbagaian perbezaan dari segi kognitif, sosial, emosi dan fizikal pelajar.

·               Ciri-ciri seorang pengurus pengajaran dan pembelajaran berkesan termasuk prihatin dan peka terhadap situasi sekeliling; sistematik dalam merancang dan menilai;  penyabar menghadapi kerenah murid pelbagai latar belakang, mengurus masa dengan baik dan  mempunyai kemahiran abad ke 21.

·               Guru perlu  mengambil kira semua aspek  kepelbagaian  budaya apabila mengurus pengajaran dan pembelajaran dalam semua peringkat pengajaran.



Senarai teks bacaan dan rujukan diberikan di bawah.

Teks Bacaan Asas

Santrock J.W (2006) Educational psychology: A tool for effective teaching( 3rd ed).New York: Mc Graw – Hill


Rujukan

Burden, P.R. & Byrd, D.M. (1994). Methods for effective teaching. Boston: Allyn Bacon.

Good, T.L.& Brophy, J.E.(1997). Looking in classrooms. New York: Addison Wesley Educational Inc.

Gredler, M.E. (2001). Learning and instruction. Theory into practice.(4th Ed.) New Jersey: Merrill Prentice Hall.