Daisypath Vacation tickers

Daisypath Vacation tickers

Monday 13 May 2013

TOPIK 2 PENGURUSAN SOSIO-EMOSI

TOPIK 2

PENGURUSAN SOSIO-EMOSI



Pernahkah anda  fikir tentang suasana sosio-emosi sesebuah bilik darjah?  Mengapa seorang guru perlu memberi perhatian kepada suasana  bilik darjah?  Dengan pengalaman anda,  pastinya anda  dapat merenung  bagaimana anda dapat mewujudkan suasana  sosio emosi yang baik untuk murid-murid anda.  Aspek sosio-emosi amat penting untuk  mewujudkan suatu  keadaan yang harmonis dan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesannya.  Justeru ini, topik ini akan membincangkan  beberapa aspek dalam sosio-emosi yang perlu diambil kira oleh guru dalam mengurus bilik darjah.

2.1  Konsep Dan Tujuan Pengurusan Sosio-Emosi

Perkataan sosioemosi terdiri daripada dua perkataan iaitu sosial dan emosi,Menurut Kamus Pelajar Edisi Ketiga sosial ditakrif sebagai segala yang berkaitan dengan masyarakat, perihal masyarakat dan kemasyarakatan.

Perkembangan sosial pula adalah satu proses apabila kanak-kanak belajar berhubung dengan orang lain mengikut cara yang dapat diterima oleh masyarakat dan budayanya. Perkembangan sosial kanak-kanak terdiri daripada kemahiran berinteraksi dengan orang lain, pembentukan kendiri, penghargaan kendiri dan kawalan kendiri. Identiti sosial dan kefahaman kendiri kanak-kanak berkembang dalam dua peringkat, iaitu kewujudan kendiri dan kategori kendiri (Lewis, 1995; Lewis & Books-Gunn, 1979).

Perkataan emosi berasal daripada perkataan Greek iaitu “emovere” yang membawa maksud “untuk keluar”. Oleh itu, emosi adalah satu perasaan afektif yang dialami oleh seseorang individu dalam sesuatu keadaan yang memberi makna kepada dirinya. Emosi juga boleh ditakrifkan sebagai tindak balas atau kebangkitan yang ditonjol keluar sebagai rangsangan kepada perasaan emosi.

Ahli psikologi dan fisiologi berpendapat bahawa emosi melibatkan perasaan, gerak hati, tindak balas fisiologi dan pernyataan emosi. Emosi boleh dibahagikan kepada dua iaitu emosi positif seperti gembira, teruja  dan emosi negatif pula adalah seperti marah,  kecewa dan lain-lain.

Oleh itu, sosioemosi dalam kalangan kanak-kanak ditakrifkan sebagai satu proses berinteraksi dan mengadaptasi diri dalam masyarakat.


2.2  Perkembangan dan Pengurusan  Sosio-emosi Di Dalam Bilik Darjah

Perkembangan emosi dan sosial yang sihat sangat penting dalam kehidupan seseorang. Aspek ini akan mempengaruhi pembelajaran murid dan membolehkan murid belajar mengawal emosi, pemikiran dan tindakan supaya dapat menyesuaikan diri dalam bilik darjah.

Perkembangan Sosioemosi bermula dengan kebolehan murid memahami dan menguruskan emosi sendiri dan membolehkan murid memahami keperluan, emosi dan pandangan orang lain untuk membina kemahiran sosial di dalam kelas yang mempunyai latar belakang majmuk yang mesra dan harmoni.

Peranan guru sangat penting dalam pengurusan sosioemosi dengan memberi penekanan kepada kebolehan dan keyakinan murid untuk berinteraksi dengan rakan di dalam kelas terutamanya bagi sebuah kelas yang mempunyai murid yang berbeza budaya dan latar belakang .

Teori-teori Pengurusan Sosio-emosi:

Bandura berpendapat bahawa perkembangan emosi kanak-kanak diperoleh dengan cara peniruan. Beliau berpendapat kanak-kanak meniru tingkah laku emosi yang diperhatikannya dan melakukan gerak balas yang tidak pernah dibuatnya dahulu. Cara kanak-kanak menyatakan emosinya bergantung kepada apa yang telah dipelajarinya mengenai penerimaan oleh masyarakat, cara yang paling mendatangkan kepuasan dan yang telah dipelajarinya untuk mendapatkan sesuatu dengan paling mudah dan cepat.

Teori Erik Erikson pula menekankan kepentingan hubungan sosial dengan individu-individu di persekitaran kanak-kanak. Menurut Erikson, personaliti seseorang kanak-kanak dibentuk hasil daripada perkembangan psikososial ini.. Kejayaan atau kegagalan mencapai matlamat atau menyelesaikan krisis perkembangan akan membawa akibat kepada imej kendiri seseorang individu.


2.3  Strrategi Pengajaran Dalam Pengurusan Sosio-emosi Belajar Melalui Bermain:

Tahukah “Belajar melalui bermain” adalah salah satu strategi pengajaran yang dapat memberi perhatian kepada sosio-emosi pelajar dalam kelas pelbagai budaya. Belajar melalui bermain adalah pendekatan yang terancang dan berstruktur bagi memberi peluang kepada murid belajar dalam suasana yang menggembirakan dan bermakna. Pendekatan belajar melalui bermain diberi penekanan khusus dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana bermain adalah fitrah kanak-kanak. Melalui bermain mereka gembira dan senang hati membuat penerokaan, penemuan pembinaan melalui pengalaman langsung secara semula jadi.” [Huraian Kurikulum Prasekolah Kebangsaan, 2003]

Belajar Melalui Bermain adalah antara strategi yang boleh digunakan oleh seorang guru untuk menggalakkan interaksi sosial dan mengawal emosi murid secara semula jadi. Bermain adalah proses spontan yang dapat menghasilkan pengalaman, pembelajaran dan kemahiran. Bermain membenarkan kanak-kanak melakukan aktiviti yang kreatif. Bagi kanak-kanak yang sedang membesar, bermain adalah satu keperluan. Melalui bermain kanak-kanak dapat belajar pelbagai perkara dan ia dikenali sebagai pembelajaran tidak formal.

Froebel (1782 – 1852) pernah mewujudkan program kindergarten 1 di Jerman untuk kanak-kanak yang berumur 4 hingga 5 tahun berkonsepkan ‘bermain sambil belajar’. Beliau percaya proses pembelajaran yang paling berkesan adalah sesuatu aktiviti yang menggembirakan. Bermain adalah salah satu aktiviti yang menggembirakan. Dengan bermain kanak-kanak dapat meningkatkan kemahiran.Manakala Dewey (1852 – 1859) pula menggalakkan proses pembelajaran melalui prinsip belajar melalui bermain di mana aspek keseronokan merupakan hak bagi setiap kanak-kanak.


2.4   Kepentingan Pengurusan Sosio-emosi

Guru perlu mengurus sosio-emosi murid-muridnya secara berkesan kerana kegagalan guru berbuat demikian akan memberi impak kepada pencapaian murid. Antara aspek akan berlaku dalam  pengurusan sosio-emosi  terdiri  daripada berikut:

a)    Proses pengajaran dan pembelajaran akan terganggu.
b)    Iklim bilik darjah tidak kondusif akan memberi kesan yang buruk terhadap prestasi kesuluruhan
c)    Memberi tekanan mental kepada murid dan guru
d)    Murid  rasa tergangggu dan tidak selesa
e)    Murid sukar memberi tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran


2.5   Rumusan

Topik ini membincangkan mengenai  pengurusan sosio-emosi pelajar dan kepentingannya  seseorang guru dapat menguruskan sosio-emosi pelajar dalam bilik darjah yang terdiri daripada masyarakat majmuk. Antara  aspek –aspek penting adalah berikut:


·     Sosioemosi dalam kalangan kanak-kanak ditakrifkan sebagai satu proses berinteraksi dan mengadaptasi diri dalam masyarakat.
·     Peranan guru sangat penting dalam pengurusan sosioemosi dengan memberi penekanan kepada kebolehan dan keyakinan murid untuk berinteraksi dengan rakan di dalam kelas pelbagai budaya
·        Belajar Melalui Bermain adalah antara strategi yang boleh digunakan oleh seorang guru untuk menggalakkan interaksi sosial dan mengawal emosi murid secara semula jadi.  Ia amat bermakna dalam membantu  mengeratkan hubungan antara murid pelbagai  latar belakang
·         Pengajaran dan pembelajaran akan terganggu dan tekanan mental akan dihadapi pelajar jika  keadaan sosio-emosi tidak diurus dengan baik oleh guru.


Di bawah adalah senarai teks bacaan dan buku rujukan yang digunakan.


Teks Bacaan Asas

Woolfolk,A. (2004). Educational Psychology. Boston: Allyn & Bacon


Rujukan

Jones, B. F. (1995). Comprehensive classroom management: Creating Positive Learning Environments for all Students. Mass: Allyn & Bacon.

No comments:

Post a Comment