TOPIK 4 |
PENGURUSAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
|
Sebagai guru
berpengalaman, imbas balik “
Apakah yang anda faham dengan pengajaran dan pembelajaran?” Apakah aspek-aspek yang perlu anda ambil
perhatian sebelum, semasa dan
selepas proses pengajaran dan pembelajaran. Pernahkah anda berfikir cara
terbaik untuk menguruskan pengajaran dan pembelajaran yang baik dalam bilik darjah yang mesra budaya? Topik ini akan membincangkan pengurusan pengajaran dan pembelajaran
dengan fokus kepada konsep, dan
peranan guru dalam mengurus
pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.
4.1 Konsep Pengajaran Dan Pembelajaran
“Pengajaran” atau “pedagogi”
bermaksud bagaimana seseorang guru menyampaikan pelajaran atau ilmu pengetahuan
kepada pelajar-pelajarnya. Ia merupakan
satu proses daripada persediaan untuk mengajar, melakukan pengajaran, menilai
kembali apa yang telah diajar serta melakukan tindakan susulan bagi
menyempurnakan proses pengajaran itu. Pengajaran juga adalah rancangan guru
yang sistematik untuk membimbing pelajar menjalankan aktiviti pembelajaran
Pengajaran juga
boleh didefinisikan sebagai rancangan
guru yang sistematik untuk membimbing pelajar
menjalankan aktiviti pembelajaran. Santrock J.W dalam bukunya Educational Psychology: A Tool for Effective
Teaching menyatakan bahawa pengajaran berkesan bergantung kepada 2 faktor
utama iaitu : pengetahuan profesional guru dan komitmen guru yang berupaya
merancang pengajaran tersusun dengan cemerlang (excellent instructional planning).
Pembelajaran ialah proses perubahan struktur mental yang
membina keupayaan tingkah laku yang
berbeza. Dari sudut kognitif,
pembelajaran boleh berlaku tanpa perubahan tingkah laku yang segera. Perubahan
struktur mental yang berlaku melibatkan perubahan skema, kepercayaan, jangkaan
dan matlamat. Proses pembelajaran yang
berlaku secara berterusan akan membawa perubahan tingkah laku. Contohnya, seseorang murid akan mula
menguasai kemahiran membaca setelah proses pembelajaran berlaku secara berulang-ulang dan berterusan. Penguasaan dan pemahaman terhadap sesuatu
fakta akan mudah dikuasai apabila proses pembelajaran dibantu dengan pelbagai
bahan bantu mengajar sebagai bahan rangsangan seperti gambarajah, jadual,
carta, gambar dan lain-lain alat bantu yang memudahkan murid-murid
menghubungkaitkan maklumat.
4.2 Ciri-ciri Guru Berkesan
Salhah Abdullah (2006) dalam
bukunya Guru Sebagai Fasillitator menegaskan bahawa ”guru sebagai fasilitator
berperanan sebagai perancang, pengurus dan pelaksana perlu berpandukan prinsip
pengurusan yang sistematik. Prinsip perancangan perlu tepat diikuti dengan
prinsip penyampaian yang sesuai dan disusuli dengan prinsip tindakan yang
tepat ” ( p.43).
“Effective teachers
have good command of their subject matter and a solid core of teaching skills.
They have excellent instructional strategies supported by methods of goal
setting, instructional planning, and classroom management. They know how to
motivate, communicate, and work effectively with students who have different
levels of skills and come fromculturally diverse backgrounds. Effective
teachers also understand how to use appropriate levels of technology in the
classroom.
“ (Santrock, 2006)
Matlamat pengajaran
pula adalah seperti berikut:
•
Untuk
menyampaikan maklumat berbentuk ilmu pengetahuan
•
Membolehkan
pelajar menguasai kemahiran kogintif, afektif dan psikomotor.
•
Membantu
pelajar memiliki nilai dan sikap yang sihat.
•
Menggalakkan
pelajar berfikir secara kritis dan kreatif.
•
Membantu
pelajar supaya boleh berdikari
4.3 Konsep Pembelajaran
4.4 Pengurusan Pengajaran dan
Pembelajaran
Pengurusan melibatkan proses-proses seperti merancang,
melaksana, menilai dan membuat tindakan susulan termasuk penambahbaikan.
Manakala pengurusan pengajaran dan pembelajaran adalah berkaitan aspek-aspek
berikut:
·
Merancang pengajaran dan
pembelajaran dengan berkesan dengan
mengambilkira latar belakang murid yang berbeza
·
Melaksana pengajaran dan
pengajaran seperti yang telah dirancang dan membuat pengubahsuaian semasa jika
perlu
·
Menilai keberkesanan
pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran
·
Membuat tindakan susulan
berdasarkan penilaian yang telah dibuat termasuk membuat penambahbaikan
4.5 Pengurus Pengajaran dan
pembelajaran Dalam Kelas pelbagai budaya:
Seorang guru yang mengurus pengajaran dan pembelajaran
juga boleh digelar ‘pengurus’. Ciri-ciri seorang pengurus pengajaran dan
pembelajaran yang cekap dan berkesan
termasuk :
·
Prihatin dan peka
terhadap situasi sekeliling
·
Sistematik dalam
merancang dan menilai
·
Penyabar menghadapi
kerenah murid pelbagai latar belakang
·
Bijak mengurus masa
·
Berpandangan jauh
·
Bersedia untuk berubah
dan fleksibel
·
Berkomuknikasi dengan
berkesan
4.6 Peringkat-peringkat pengurusan pengajaran dan
pembelajaran
Dalam konteks pengurusan pengajaran dan pembelajaran,
peringkat-peringkat pengurusan pengajaran dan pembelajaran adalah berkaitan
persediaan guru :
i)
Sebelum proses pengajaran
dan pembelajaran
ii)
Semasa proses pengajaran
dan pembelajaran
iii)
Selepas proses pengajaran
dan pembelajaran
Rajah
1: PENGURUSAN PENGAJARAN DAN
PEMBELAJARAN
Sebelum proses pengajaran dan pembelajaran
Sebagai seorang guru yang berhadapan dengan murid-murid pelbagai budaya,
guru perlu membuat persediaan rapi sebelum memulakan sesi pengjaran dan
pembelajaran. Persediaan sebelum pengajaran dan pembelajaran termasuk merancang
pelaksanaan pengajaran melalui penulisan Rancangan Pengajaran Harian meliputi
aspek-aspek :
§ Hasil pembelajaran yang tepat
§ Kaedah pengajaran yang sesuai dengan kepelbagaian budaya murid
§ Sumber pengajaran yang mencukupi
§ Bahan bantu mengajar yang berkesan
§ Langkah-langkah proses pengajaran yang jelas
(a) Penggunaan
Bahan Bantu Mengajar
Pengurusan pengajaran dan
pembelajaran bermula dengan perancangan
dan penyediaan bahan bantu mengajar yang sesuai. Penggunaan alat bantu mengajar yang
sesuai dan berkesan sangat penting untuk membantu guru menerangkan konsep abstrak yang sukar
kepada para pelajar. ” Mengguna alat bantu mengajar (ABM) dapat membantu
menerangkan sesuatu konsep” (Hiebert, Weame & Taber, 1991; Kozma, 1991).
Contoh-contoh bahan bantu mengajar seperti bahan maujud, gambar, pengursan
grafik, peta minda, gambarajah, radio, komputer, video, kad imbasan,
gambarajah, akhbar, majalah, audio visual,
model, prototaip atau bahan-bahan sejarah. Ciri-ciri bahan pengajaran efektif
pula berbentuk maujud, praktikal, selamat digunakan dan guru dapat menggunakan bahan tersebut untuk
menerangkan konsep abstrak yang sukar difahami dengan berkesan.
Seorang
guru yang kreatif akan menyesuaikan bahan bantu mengajar dengan isi pelajaran agar murid mudah menguasai konsep abstrak yang kompleks. Ini diakui oleh Mayer &
Gallini, (1990); “ Guru perlu menerangkan dengan jelas dan memberi
contoh-contoh yang berkaitan untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran “. Manakala Slavin (1994) menyarankan “guru
perlu menyediakan pengajaran yang boleh menarik minat dan menyeronokkan pelajar
dengan mempelbagaikan kaedah pengajaran dan alat bantu mengajar (ABM).
(b) Pemilihan Sumber Pengajaran
Guru yang bersedia dengan maklumat dari
pelbagai sumber bukan sahaja berjaya memberi penerangan yang jelas kepada
pelajarnya tetapi juga mampu membuat perkaitan antara idea-idea, mencadangkan
pemikiran baru dan mencabar pelajar untuk berfikir pada aras tinggi .
Sumber- sumber
pembelajaran yang boleh digunakan seperti buku teks, buku rujukan, internet,
maklumat akhbar, majalah, rancangan radio dan televisyen, jurnal , prospektus, phamplets and brochures, laporan
penyelidikan, statistik rasmi, Akta, Arahan Perbendaharaan termasuk sumber hasil temubual dan soal selidik.
Sumber yang tepat, sesuai, dan mencukupi mampu
mencabar minda pelajar
seterusnya menarik minat mereka untuk
memahami isi pelajaran dengan lebih
berkesan. Semasa merancang pengajaran, saya mendapatkan seberapa banyak input daripada pelbagai sumber sebelum
memulakan setiap sesi pengajaran .
Semasa Proses Pengajaran dan
Pembelajaran
(a) Strategi Pengajaran Releven
Pelbagai Budaya
Pemilihan strategi pengajaran yang tepat juga
mampu membuatkan penyampaian maklumat dan pelaksanaan pengajaran menjadi lebih
berkesan terutama aktiviti yang melibatkan interaksi aktif murid yang terdiri daripada pelbagai
budaya dan latar belakang.
Semasa guru
melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran guru perlu memastikan
§ melaksanakan pengajaran seperti yang dirancang
§ mengenalpasti prosedur penilaian pembelajaran murid yang sesuai
§ menerapkan nilai-nilai kepelbagaian budaya dalam aktiviti pengajaran dan
pembelajaran
§ menyediakan suasana bilik darjah yang kondusif dari segi psikososial dan
fizikal untuk murid-murid yang mempunyai latar belakang berbeza
§ mengurus disiplin murid dengan mengambilkira kepelbagaian kelompok murid
§ mengendalikan
aktiviti pemulihan dan pengayaan
Selepas Proses Pengajaran dan Pembelajaran
Seterusnya proses penilaian dan pengukuran
perlu dilaksanakan oleh guru untuk mengetahui keberkesanan pengajaran. Penilaian prestasi merupakan satu proses
meliputi aktiviti mengumpul maklumat tentang strategi, aktiviti, hasil dan
impak pengajaran dan pembelajaran bagi membuat analisis untuk memastikan pelajar
telah menguasai kemahiran yang disampaikan oleh guru. Guru juga dapat merancang aktivti selanjutnya dengan cara yang
lebih berkesan dan mengambil tindakan susulan .
Menurut
D. Stufflebeam dalam bukunya “ Educational Evaluation and Decision
Making”, beliau telah mentakrifkan penilaian sebagai satu proses
menentukan, mendapatkan serta memberikan maklumat yang berguna untuk membuat
pertimbangan yang selanjutnya. Gay (1985) pula
berpendapat bahawa penilaian ialah satu proses sistematik mengumpul dan
menganalisis data bagi menentukan sama ada
sesuatu objektif yang telah
ditetapkan itu telah tercapai.
Keberkesanan sesuatu proses pengajaran tidak dapat dipastikan tanpa
proses penilaian oleh guru semasa dan selepas pengajaran berlaku. Penilaian
dilaksanakan berperanan untuk:
•
Mengesan perkembangan
penguasaan murid dan mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid dalam pembelajaran untuk
merancang aktiviti pengayaan dan pemulihan
•
Mengenal pasti
keberkesanan pengajaran guru supaya membolehkan guru memperbaiki pengajaran
selanjutnya
•
Mengambil tindakan
susulan untuk mengatasi kelemahan & meningkatkan lagi proses pengajaran dan
pembelajaran
meningkatkan
keberkesanan pengajaran .
Keputusan peperiksaan penilaian formatif
pula yang dilaksanakan selepas tamat sesuatu tajuk dan penilaian sumatif yang dilaksanakan secara
holistik pada hujung semester dapat menilai pencapaian pelajar. Penilaian
prestasi pelajar juga membolehkan guru menilai semula strategi pengajaran dan
membuat penambahbaikan. Penilaian menyeluruh pelajar dapat dilakukan melalui data-data
pengukuran kuantitatif dan kuanlitatif .
Pengukuran merupakan satu proses
sistematik untuk mendapatkan maklumat secara kuantitatif untuk
menentukan pencapaian murid. Tujuan utama pengukuran adalah untuk membuat
pengelasan bagi pencapaian akademik murid dalam pembelajaran dan membuat
penambahbaikan kepada kaedah pengajaran guru. Alat pengukuran dalam proses
pengajaran dan pembelajaran adalah seperti data kuantitatif hasil daripada
ujian bulanan, kuiz, peperiksaan,
temubual murid/rakan sekerja, soal selidik,
senarai semak, rekod anekdot, skala kadar, sosiogram, data pemerhatian
dan kajian tindakan. Alat pengukuran yang tepat dalam proses penilaian mampu
memberi maklumat berharga kepada guru untuk mengukur pembelajaran pelajar dan
menilai keberkesanan pengajaran guru .
Apabila guru memberikan ujian kepada pelajarnya, guru sebenarnya bukan sahaja sedang mengukur
pencapaian pelajarnya tetapi juga mengukur keberkesanan strategi pengajarannya
sendiri.
Penambahbaikan perlu dilakukan oleh guru
setelah melaksanakan penilaian dan pengukuran. Pendekatan Pengajaran Masteri
contohnya amat menekankan bahawa guru perlu memastikan murid telah dapat
menguasai sesuatu kemahiran sebelum kemahiran yang baru disampaikan. Penambahbaikan berbentuk pemulihan, pengayaan dan penilaian semula
kesemua elemen-elemen yang terlibat semasa merancang dan semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlaku perlu diambilkira oleh seorang guru
yang proaktif dan berkesan
Setelah guru
selesai menyempurnakan proses pengajaran dan pembelajaran, guru perlu
memperuntukkan masa membuat refleksi terhadap pelaksanaan pengajarannya.
Langkah ini adalah penting untuk mengkaji keberkesanan pengajaran guru dalam
aspek pemilihan strategi pengajaran, penggunaan bahan bantu mengajar, maklumat
dan sumber pengajaran, tahap pencapaian murid dan keberkesanan komunikasi
guru-murid..
Rumusan
Kita sudah
sampai ke penghujung topik. Mari kita membuat rumusan.tentang apa yang telah
dipelajari.
·
Pedagogi atau pengajaran merupakan satu proses daripada persediaan untuk
mengajar, melakukan pengajaran, menilai kembali apa yang telah diajar serta
melakukan tindakan susulan bagi menyempurnakan proses pengajaran itu.
·
Pembelajaran ialah
proses perubahan struktur mental yang membina keupayaan tingkah laku yang berbeza
·
Pengurusan pengajaran
dan pembelajaran melibatkan
proses-proses seperti merancang, melaksana, menilai dan membuat tindakan
susulan termasuk penambahbaikan terhadap pengajaran dan pembelajaran dengan
mengambil kira latarbelakang pelajar, dan kepelbagaian
perbezaan dari segi kognitif, sosial, emosi dan fizikal pelajar.
·
Ciri-ciri seorang
pengurus pengajaran dan pembelajaran berkesan termasuk prihatin dan peka
terhadap situasi sekeliling; sistematik dalam merancang dan menilai; penyabar menghadapi kerenah murid pelbagai
latar belakang, mengurus masa dengan baik dan
mempunyai kemahiran abad ke 21.
·
Guru perlu
mengambil kira semua aspek
kepelbagaian budaya apabila
mengurus pengajaran dan pembelajaran dalam semua peringkat pengajaran.
|
Senarai teks bacaan dan rujukan diberikan di bawah. Teks Bacaan Asas Santrock J.W (2006) Educational psychology: A tool for effective teaching( 3rd ed).New York: Mc Graw – Hill Rujukan Burden, P.R. & Byrd, D.M. (1994). Methods for effective teaching. Boston: Allyn Bacon. Good, T.L.& Brophy, J.E.(1997). Looking in classrooms. New York: Addison Wesley Educational Inc. Gredler, M.E. (2001). Learning and instruction. Theory into practice.(4th Ed.) New Jersey: Merrill Prentice Hall. |
No comments:
Post a Comment