Daisypath Vacation tickers

Daisypath Vacation tickers

Thursday, 16 May 2013

TOPIK 8 PENILAIAN BERASASKAN BUDAYA



TOPIK  8

PENILAIAN BERASASKAN BUDAYA


Fikirkan pengalaman anda sebagai guru di sebuah sekolah pelbagai budaya. Adakah anda pernah merancang penilaian untuk kelas yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik? Apakah aspek-aspek yang perlu anda ambil kira semasa menyediakan ujian untuk kelas anda? Topik ini akan membincangkan mengenai perancangan yang diperlukan untuk melaksanakan penilaian yang berasaskan budaya. Ini termasuklah  konsep penilaian berasaskan budaya, ciri-ciri  ujian berasaskan budaya, prinsip-prinsip yang perlu diambil kira serta strategi penilaian yang sesuai untuk kelas pelbagai budaya.

7.1   Konsep dan Tujuan Penilaian Berasaskan Budaya

Konsep Penilaian Berasaskan Budaya
Penilaian merujuk kepada satu proses mendapatkan maklumat yang berguna untuk membuat pertimbangan tentang tindakan selanjutnya. Dalam perkataan lain, penilaian adalah satu proses sistematik untuk mendapatkan maklumat dalam membuat keputusan bagi tindakan yang akan diambil kelak. Manakala mengikut  Hall (1959), budaya merupakan satu set pola yang dialami oleh individu-individu sebagai cara bertindak, merasa, dan melakukan sesuatu.  Amat jelas adalah pandangan Erickson (1997) di mana atribut penting budaya berkait dengan pendidikan merupakan suatu yang eksplisit (seperti  tabiat  manusia) dan  implisit (seperti  nilai, andaian dan kepercayaan).
Maka penilaian berasaskan budaya membawa maksud bahawa  penilaian yang dilaksanakan oleh guru untuk mengumpul maklumat  dalam membuat keputusan seharusnya mengambil kira aspek  kepelbagaian budaya murid   semasa menyedia atau memilih instrumen untuk memperoleh maklumat supaya keputusan yang dibuat adalah sah dan boleh dipercayai.


Penilaian berasaskan budaya kian memainkan peranan penting dalam bidang pendidikan. Pengumpulan data tentang pengetahuan dan kemahiran pelajar dengan menggunakan alat/teknik  penilaian yang sesuai amat  mustahak . Kesahan dalam  keputusan  penilaian  merupakan isu utama kerana keputusan-keputusan ini digunakan untuk memaklumkan keputusan terhadap  pembelajaran pelajar.  Maka keputusan yang sah  dipengaruhi oleh pemilihan alat penilaian yang telah disahkan  berasaskan sampelan  populasi tertentu. Juga, jika suatu alat diterjemahkan, kepastian perlu dibuat  terhadap kesahan dan integriti dalam proses terjemahan.


Tujuan  Penilaian Berasaskan Budaya

Penilaian  yang disediakan untuk pelajar daripada pelbagai budaya perlu mengambil kira faktor  pelajar seperti  sejarah imigrasi atau  perpindahan, status sosio-ekonomi, latar belakang pelajar. Aspek-aspek ini akan  akan membantu  dalam membekalkan maklumat  kepada guru apabila memilih alat-alat  penilaian yang sesuai untuk proses peinilaian.  Untuk guru yang menyediakan  penilaian,  pentaksiran  berasaskan budaya  memerlukan integrasi  kepekaan  dari segi sikap, pengetahuan, kemahiran menyoal atau menemubual, strategi-strategi intervensi dan amalan-amalan penilaian.

Penilaian  ini bertujuan untuk menentukan teknik dan strategi penilaian  yang sesuai untuk  memperoleh data mengenai pelajar. Fokus   mengenai  penilaian yang tidak  mendiskriminasikan  sesiapa  seharusnya dapat  membuat keputusan  tentang kemajuan pelajar selain dapat  mengenal pasti atau mengklasifikasikan pelajar. Di samping itu,  penilaian  ini bertujuan untuk  memberi maklum balas tentang  kelemahan dan kekuatan pengajaran – pembelajaran,  dan seterusnya  pembangunan  program pendidikan. 

Secara keseluruhannya, penilaian berasaskan budaya  bertujuan untuk :

(a)   mengumpul maklumat untuk kemajuan, diagnosis dan tindakan selanjutnya
(b)   menilai  dengan menggunakan prosedur autentik dan alternatif 
(c)   memperoleh data  tentang peluang pembelajaran untuk  semua murid
(d)   mengumpul maklumat  sama ada  ianya  mengambil kira faktor  linguistik dan kerelevanan  budaya
(e)   menentukan  keperluan  bahasa  yang sesuai untuk  penilaian formal
(f)    mengurangkan  bias dalam amalan-amalan penilaian tradisional


7.2 Peranan Guru  dalam menyediakan  penilaian berasaskan budaya

Guru perlu mempunyai kebolehan untuk menggunakan pelbagai kemahiran penilaian  dan alat  dalam pengajaran  yang dapat memberi  peluang pelajar menunjukkan kompetensi  mereka dalam pelbagai cara berasaskan keadaan tempatan, termasuklah  pengetahuan dan kemahiran berkait dengan  pemahaman  amalan budaya  tradisional. 

Tambahan pula,  guru perlu mengambil kira pelbagai  kemahiran penyelesaian masalah dalam menilai  potensi pembelajaran pelajar  di bawah jagaan mereka dan menyediakan  peluang  yang sesuai  untuk  pelajar meningkatkan diri.

Budaya  sama ada dapat dilihat atau terselindung  harus  diutarakan dalam proses-proses dan kandungan pengajaran oleh guru. Budaya membentuk dan dibentuk  dalam proses pengajaran dan pembelajaran  yang berlaku dalam  persekitaran pembelajaran  sepanjang hidup manusia, keluarga, bilik darjah , komuniti dan tempat kerja. Maka  guru berperanan untuk  menangani isu-isu budaya setiap kali mereka mengajar dan membina  alat penilaian. Oleh demikian, boleh dikatakan bahawa budaya bukan sahaja melibatkan amalan- amalan harian ( pola tingkah laku, tradisi, tabiat atau  adat resam)  tetapi  juga cara murid memahami idea dan membina makna terhadapnya  setiap hari.  Perkara ini amat penting untuk  guru  sebagai landasan  untuk prosespengajaran dan pembelajaran  serta penilaian.   


7.3 Prinsip- Prinsip  Penilaian  berasaskan budaya

Penilaian autentik berbandingkan penilaian tradisional iaitu ujian kertas dan pensil  didapati memberi peluang kepada semua murid pelbagai budaya untuk melibatkan diri dalam aktiviti/tugasan penilaian berasaskan situasi sebenar. Ini amat relevan dan bermakna kepada murid kerana mengkaitkan situasi sebenar dalam mata pelajaran. Antara prinsip-prinsip yang perlu diambil kira oleh  guru dalam penilaian berasaskan budaya termasuk:

(a)    Penilaian  harus  berasaskan  pemahaman  tentang bagaimana murid belajar. Ia  harus memainkan peranan positif dalam membentuk pengalaman pembelajaran murid

(b)     Penilaian harus  mengambil kira perbezaan individu murid dalam pembelajaran. Ia harus berasaskan objektif–objektif dan membolehkan murid  mendemonstrasikan pencapaian hasil pembelajaran dalam pelbagai cara.  Dalam konteks ini, pengubahsuaian  kandungan harus  dilakukan dan  kandungan seharusnya  melambangkan  budaya murid,  latar belakang murid, bahasa utama, keluarga dan komuniti. Pengetahuan kandungan dan kemahiran  perlu diintegrasikan dan merentasi  semua mata pelajaran sepanjang masa.  Dalam hal ini, tugasan/aktiviti  terdiri daripada jenis koperatif, aktif dan berasaskan inkuiri.

(c)    Penilaian  harus  bercorak adil kepada semua murid. Amalan penilaian harus  merangkumi  prinsip-prinsip inklusif  dan menyokong  ekuiti. Amalan-amalan ini harus  dapat  memenuhi  kepelbagaian  sama ada secara individu atau  kumpulan murid.  Adalah  penting untuk menggunakan  pelbagai  bentuk penilaian. Juga, bahasa inklusif perlu digunakan  untuk mengelakkan  bias dari segi  gender, perkauman, budaya atau  bahasa.


7.4  Ciri-Ciri Penting Dalam Penilaian Berasaskan Budaya

Kita harus sedar bahawa guru yang paling berpengetahuan  dalam  kandungan mata  pelajaran mungkin tidak begitu cekap dari segi  mengenal pasti  pengaruh-pengaruh relevan budaya  secara kontektual, cekap dalam mengenal pasti  strategi-strategi pengajaran yang sesuai atau pun membina prosedur  penilaian yang  mesra budaya.   Pada awalnya, usaha membina  alat penilaian  dibuat secara kolaboratif,  namum guru dalam bilik darjah perlu belajar bagaimana memodeli dan memurnikan alat-alat ini jika  ingin mewujudkan  pembelajaran berkualiti  dengan positifnya.  


Penilaian yang menyokong pembelajaran merupakan  jenis-jenis penilaian yang tersirat dalam kerangka kurikulum (Gordon,1996).  Penilaian yang terangkum dalam kurikulum secara formatif  adalah  penting untuk mencapai  hasil pembelajaran spesifik yang mana murid diberi pendedahan.  Oleh yang demikian,  alat-alat penilaian  direka bentuk  untuk  satu- satu pengajaran yang  akan membekalkan maklumat untuk membuat keputusan bilik darjah berkait dengan penempatan, diagnosis, pemantauan, dan pencapaian murid. Penilaian yang terangkum dalam kurikulum dan aktiviti-aktiviti  pengajaran merupakan komponen yang berkait rapat untuk memudahcara  pembelajaran. 


Penilaian yang terangkum dalam kurikulum  berbeza dari segi  format dan gaya.  Bentuk penilaian  terdiri daripada  jenis formal, tidak formal, ujian  kertas dan pensil atau aktiviti berasaskan prestasi/perlakuan.  Dalam konteks  penilaian mesra budaya, penilaian formatif  yang  direka atau bina akan  berkisar kepada konteks yang sama seperti dalam pengajaran dan pembelajaran untuk  mengumpul data bagi menilai keberkesanan pengajaran. 


Mengikut  Gordon (1996),  proses  penilaian  yang dilaksanakan  perlu  menyokong  pengalaman pembelajaran  pelbagai, pelbagai konteks, dan  item ujian lebih “ process-sensitive”.  Bentuk penilaian  perlu distrukturkan untuk memberi sokongan kepada  aktiviti  pengajaran dan terdiri daripada kepelbagaian  dalam jenis item untuk menilai objektif  secara berkesan.  Guru perlu berkebolehan memadankan  kehendak  ujian dan aktiviti-aktiviti pengajaran demi meningkatkan kerelevanan kurikulum dan menghasilkan  maklumat yang tepat.  Bentuk format penilaian  gabungan  antara pelbagai jenis  item dapat  mengukur kemahiran- kemahiran  pemerosesan kognitif yang berlainan dan ini dikatakan  dapat menunjukkan pelbagai tahap atau jenis pembelajaran. Tambahan pula, beberapa objektif  atau  komponen pengajaran dan pembelajaran boleh diukur dengan menggunakan pelbagai  format item yang berbeza untuk  memperoleh maklumat yang dapat  menilai  pencapaian murid.

Salah satu ciri penting  yang boleh mempengaruhi prestasi murid ialah bahasa yang digunakan dalam penilaian  prestasi seperti sains. Perkataan mempengaruhi cara  murid bertindak balas terhadap tugasan. Jika sesorang tidak dapat memahami satu perkataan or  dia memahami  perkataan tersebut  pada perspektif lain kerana latar belakang budaya dan linguistik, prestasinya mungkin tidak  membawa makna yang tepat mengenai pengetahuan dan kemahirannya.

Oleh kerana  bahasa begitu penting dalam sesetengah alat penilaian, guru yang mengadaptasi  ujian  dari  populasi normal untuk kegunaan kumpulan pelbagai budaya atau linguistik  akan gagal menghasilkan  penilaian yang adil serta boleh dibuat perbandingan. 


7.5  Jenis-Jenis  Penilaian  Berasaskan Budaya

Dalam bilik darjah yang mesra budaya, guru perlu menggunakan penilaian berterusan dan sistematik  untuk menilai kebolehan, minat, sikap dan kemahiran sosial murid. Maklumat  yang dikumpul  akan menyediakan asas untuk membuat keputusan pengajaran dan memberi pengertian kepada apa yang perlu diajar dan bagaimana hendak mengajar. Tambahan pula, terdapat tekanan terhadap penglibatan murid dalam proses penilaian. Apabila murid diberi peluang untuk melibatkan diri dalam penilaian, mereka boleh membuat refleksi terhadap kemajuan mereka dan memberi pemahaman baru yang tidak dapat diberi oleh orang dewasa.


Contoh-contoh penilaian mesra budaya merangkumi yang berikut:

Pemerhatian harian tingkah laku pembelajaran dan sosial murid dalam situasi
bilik darjah.

Pemerhatian boleh dibuat melalui senarai semak, catatan, atau kad fail untuk membolehkan guru merumuskan pemerhatian tingkah laku murid secara yang tekal dan bermakna.  Sebagai contoh, guru boleh gunakan senarai nama kelas merupakan cara mudah untuk merekodkan pemerhatian harian. Guru boleh mewujudkan lajur untuk mengenal pasti projek, aktiviti atau tingkah laku yang ingin diperhatikan.

Penilaian Portfolio

Murid dan guru boleh memilih sampel  tugasan yang menggambarkan kepelbagaian keperluan dan kebolehan murid untuk dinilai. Guru, murid dan ahli-ahli keluarga boleh membuat refleksi terhadap apa yang murid telah laksanakan, tahap kebolehan mereka dan bidang manakah yang perlu ditambah baik. 

Penulisan Jurnal

Penulisan jurnal memberi  peluang kepada murid berkongsi pemahaman peribadi mengenai  perkara seperti sastera dalam pelbagai konteks budaya  untuk memaklum, memperjelas dan menerangkan tentang  masyarakat majmuk. Contohnya, guru boleh menilai tentang jurnal pembelajaran di mana murid mencatat kaitan peribadi dengan watak-watak dalam sastera yang mereka baca. Mereka boleh membina pengertian terhadap watak dan ini memberi mereka kebebasan untuk menulis tentang watak dan berkongsi dengan rakan.

Projek

Projek memberi peluang murid menyumbang  idea  mengikut kebolehan mereka. Projek sebegini baik untuk murid  dari pelbagai  budaya dan berbeza secara  individu  kerana mereka melakukan tugasan mengikut masa dan tahap kesediaan mereka. Mereka boleh meneroka topik yang diminati berasaskan bacaan topik  pelbagai budaya. Mereka boleh pilih menulis laporan atau menyediakan satu persembahan lisan atau mencipta lukisan untuk menggambarkan   konsep utama  terselindung dalam topik mereka. Salah satu  contoh projek termasuk  rekacipta artifak  yang mewakili  patung kumpulan etnik dan murid boleh menulis cerita atau puisi tentang artifak untuk tujuan penilaian projek.

Ujian buatan guru yang berkait rapat dengan program pengajaran

Perhatian utama harus diberi kepada  gaya kognitif dan kemahiran akademik semua murid. Contohnya, guru boleh mereka bentuk ujian dengan menggubal item soalan sesuai untuk menilai pengetahuan atau prestasi murid dalam  bidang kandungan tertentu dalam kurikulum yang mesra budaya. Dalam lain perkataan, ujian harus ” culturally loaded” dengan mengambil kira budaya semua kumpulan  murid.  Bahasa yang digunakan harus difahami semua  dan  tidak bias kepada  kumpulan murid yang dominan. Arahan  ujian perlu mengambil kira asas budaya dan faktor linguistik  sedia ada murid dan murid perlu  merasai bahawa bahasa dan budayanya adalah aset bukan liabiliti dalam penilaian.

Penilaian kendiri murid  

Murid boleh memberi tindak balas kepada soalan mengenai pembelajaran mereka secara berkala dalam konferens guru/murid. Portfolio boleh digunakan semasa konferens. Sebagai contoh, murid ditunjukkan kerja/ tugasan mereka, membincang hasil kerja dengan guru dan menilai kemajuan sendiri.  

Penilaian kendiri guru  

Penilaian kendiri merupakan bahagian penting keberkesanan pengajaran guru. Guru perlu menyoal diri sendiri tentang pilihan mengenai tingkah laku dan strategi-strategi pengajaran, keberkesanan dan kerelevanan budaya dalam pelajaran mereka serta  reaksi dan tindak balas mereka terhadap kepelbagaian budaya dalam bilik darjah mereka  yang boleh menyumbang kepada perkembangan berterusan dalam pengajaran dan pembelajaran.

7.5   Rumusan
Topik  di atas membincangkan aspek-aspek penting seperti berikut:
·         Cabaran yang  dihadapi penilaian tidak seberat  berbandingkan  isu-isu mengenai strategi-strategi pengajaran sesuai  dan perkembangan guru.

·         Penilaian mesra budaya yang dibincangkan di atas merupakan cara-cara yang boleh digunakan untuk menilai murid tanpa menjejaskan kesahan dan kebolehpercayaan semasa membuat keputusan.

·         Jenis-jenis penilaian yang dikemukakan dapat mengurangkan bias  terhadap kumpulan etnik tertentu dan pertimbangan yang ditimbulkan perlu diambil kira oleh guru semasa menyediakan penilaian sama ada formal atau tidak formal.

·         Sekiranya kurikulum adalah mesra budaya dengan mengambil kira kandungan yang sesuai untuk murid, maka tidak akan menimbulkan banyak masalah semasa membina alat penilaian untuk murid.

·     Kita akan berjaya jika kita menggunakan semua resos dan tenaga untuk melakukan yang terbaik untuk anak kita yang berisiko jika kita tidak laku adil kepada mereka dengan tidak mengambil kira kepelbagaian budaya. Seperti mana Height (1996) maintains: "No one else can retrieve our values and salvage our people better than we can" (p. 53).


Berikut adalah senarai teks bacaan dan buku rujukan yang boleh digunakan:

Teks Bacaan Asas

Arends,R.I. (1994). Learning to Teach. 3th Edition. N.Y:McGraw Hill


Rujukan

Baxter, G. P. & Shavelson, R. J. (1994). Science performance assessments: benchmarks and
surrogates. International Journal of Educational Research, 21(3), 279-298.

Baxter, G. P., Shavelson, R. J., Goldman, S. R., & Pine, J. (1992). Evaluation of a procedure-
based scoring for hands-on science assessment. Journal of Educational Measurement, 29(1),
1-17.

Dalton, B., Morocco, C. C., Tivnan, T., & Rawson, P. (1994). Effect of format on learning
disabled and non-learning disabled students¢ performance on a hands-on science
assessment. International Journal of Educational Research, 21(3) 299-316.

Jovanovic, J., Solano-Flores, G., & Shavelson, R. J. (1994). Performance-based assessments:
Will gender differences in science achievement be eliminated? Education and Urban Society,
26(4), August, 352-366.

Montgomery,W.(2001). Creating culturally responsive, inclusive classrooms. Teaching
Exceptional Children, Vol.33(4) pp 4-9.

Samuel O. Ortiz. Best Practices in Nondiscriminatory Assessment. St John's University
Retrieved 10 October 2009 from http://www.nasponline.org/resources/culturalcompetence/ cultcomppractice.aspx#assess


Samuel O. Ortiz. Comprehensive Assessment of Culturally and Linguistically Diverse Student:
A Systematic, Practical Approach for Nondiscriminatory Assessment. St John's University
Retrieved 10 October 2009 from http://www.nasponline.org/resources/culturalcompetence/
cultcomppractice.aspx#assess

No comments:

Post a Comment