Daisypath Vacation tickers

Daisypath Vacation tickers

Tuesday 14 May 2013

TOPIK 4 PENGURUSAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

TOPIK 4

PENGURUSAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN 


Sebagai guru  berpengalaman,  imbas balik “ Apakah yang anda faham dengan pengajaran dan pembelajaran?”  Apakah aspek-aspek yang perlu anda ambil perhatian  sebelum, semasa dan selepas  proses pengajaran  dan pembelajaran.  Pernahkah anda berfikir  cara  terbaik untuk menguruskan pengajaran dan pembelajaran yang baik   dalam bilik darjah yang mesra budaya?  Topik ini akan membincangkan  pengurusan pengajaran dan pembelajaran dengan  fokus  kepada konsep,  dan  peranan  guru dalam mengurus pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

4.1   Konsep  Pengajaran Dan Pembelajaran

“Pengajaran” atau “pedagogi” bermaksud bagaimana seseorang guru menyampaikan pelajaran atau ilmu pengetahuan kepada pelajar-pelajarnya.  Ia merupakan satu proses daripada persediaan untuk mengajar, melakukan pengajaran, menilai kembali apa yang telah diajar serta melakukan tindakan susulan bagi menyempurnakan proses pengajaran itu. Pengajaran juga adalah rancangan guru yang sistematik untuk membimbing pelajar menjalankan aktiviti pembelajaran

Pengajaran juga boleh didefinisikan sebagai rancangan guru yang sistematik untuk membimbing pelajar  menjalankan aktiviti pembelajaran. Santrock J.W dalam bukunya Educational Psychology: A Tool for Effective Teaching menyatakan bahawa pengajaran berkesan bergantung kepada 2 faktor utama iaitu : pengetahuan profesional guru dan komitmen guru yang berupaya merancang pengajaran tersusun dengan cemerlang (excellent instructional planning).

Pembelajaran ialah proses perubahan struktur mental yang membina keupayaan  tingkah laku yang berbeza.  Dari sudut kognitif, pembelajaran boleh berlaku tanpa perubahan tingkah laku yang segera. Perubahan struktur mental yang berlaku melibatkan perubahan skema, kepercayaan, jangkaan dan matlamat.  Proses pembelajaran yang berlaku secara berterusan akan membawa perubahan tingkah laku.  Contohnya, seseorang murid akan mula menguasai kemahiran membaca setelah proses pembelajaran  berlaku secara berulang-ulang dan berterusan.  Penguasaan dan pemahaman terhadap sesuatu fakta akan mudah dikuasai apabila proses pembelajaran dibantu dengan pelbagai bahan bantu mengajar sebagai bahan rangsangan seperti gambarajah, jadual, carta, gambar dan lain-lain alat bantu yang memudahkan murid-murid menghubungkaitkan maklumat.


4.2   Ciri-ciri Guru Berkesan

Salhah Abdullah (2006) dalam bukunya Guru Sebagai Fasillitator menegaskan bahawa ”guru sebagai fasilitator berperanan sebagai perancang, pengurus dan pelaksana perlu berpandukan prinsip pengurusan yang sistematik. Prinsip perancangan perlu tepat diikuti dengan prinsip penyampaian yang sesuai dan disusuli dengan prinsip tindakan yang tepat  ” ( p.43).

“Effective teachers have good command of their subject matter and a solid core of teaching skills. They have excellent instructional strategies supported by methods of goal setting, instructional planning, and classroom management. They know how to motivate, communicate, and work effectively with students who have different levels of skills and come fromculturally diverse backgrounds. Effective teachers also understand how to use appropriate levels of technology in the classroom. “ (Santrock, 2006)

Matlamat pengajaran pula adalah seperti berikut:

          Untuk menyampaikan maklumat berbentuk ilmu pengetahuan
          Membolehkan pelajar menguasai kemahiran kogintif, afektif dan psikomotor.
          Membantu pelajar memiliki nilai dan sikap yang sihat.
          Menggalakkan pelajar berfikir secara kritis dan kreatif.
          Membantu pelajar supaya boleh berdikari


4.3  Konsep  Pembelajaran

4.4  Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran

Pengurusan  melibatkan proses-proses seperti merancang, melaksana, menilai dan membuat tindakan susulan termasuk penambahbaikan. Manakala pengurusan pengajaran dan pembelajaran adalah berkaitan aspek-aspek berikut:

·         Merancang pengajaran dan pembelajaran  dengan berkesan dengan mengambilkira latar belakang murid yang berbeza
·         Melaksana pengajaran dan pengajaran seperti yang telah dirancang dan membuat pengubahsuaian semasa jika perlu
·         Menilai keberkesanan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran
·         Membuat tindakan susulan berdasarkan penilaian yang telah dibuat termasuk membuat penambahbaikan


4.5  Pengurus Pengajaran dan pembelajaran Dalam Kelas pelbagai budaya:

Seorang guru yang mengurus pengajaran dan pembelajaran juga boleh digelar ‘pengurus’. Ciri-ciri seorang pengurus pengajaran dan pembelajaran yang cekap dan berkesan  termasuk :

·         Prihatin dan peka terhadap situasi sekeliling
·         Sistematik dalam merancang dan menilai
·         Penyabar menghadapi kerenah murid pelbagai latar belakang
·         Bijak mengurus masa
·         Berpandangan jauh
·         Bersedia untuk berubah dan fleksibel
·         Berkomuknikasi dengan berkesan


4.6  Peringkat-peringkat pengurusan pengajaran dan pembelajaran

Dalam konteks pengurusan pengajaran dan pembelajaran, peringkat-peringkat pengurusan pengajaran dan pembelajaran adalah berkaitan persediaan guru :
i)              Sebelum proses pengajaran dan pembelajaran
ii)             Semasa proses pengajaran dan pembelajaran
iii)            Selepas proses pengajaran dan pembelajaran


Rajah 1: PENGURUSAN  PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN


Sebelum  proses pengajaran dan pembelajaran
Sebagai seorang guru yang berhadapan dengan murid-murid pelbagai budaya, guru perlu membuat persediaan rapi sebelum memulakan sesi pengjaran dan pembelajaran. Persediaan sebelum pengajaran dan pembelajaran termasuk merancang pelaksanaan pengajaran melalui penulisan Rancangan Pengajaran Harian meliputi aspek-aspek :

§  Hasil pembelajaran yang tepat
§  Kaedah pengajaran yang sesuai dengan kepelbagaian budaya murid
§  Sumber pengajaran yang mencukupi
§  Bahan bantu mengajar yang berkesan
§  Langkah-langkah proses pengajaran yang jelas


(a)  Penggunaan Bahan Bantu Mengajar
                       
Pengurusan pengajaran dan pembelajaran bermula dengan  perancangan dan penyediaan bahan bantu mengajar yang sesuai. Penggunaan alat bantu mengajar  yang sesuai dan berkesan sangat penting untuk membantu guru menerangkan konsep abstrak yang sukar kepada para pelajar. ” Mengguna alat bantu mengajar (ABM) dapat membantu menerangkan sesuatu konsep” (Hiebert, Weame & Taber, 1991; Kozma, 1991). Contoh-contoh bahan bantu mengajar seperti bahan maujud, gambar, pengursan grafik, peta minda, gambarajah, radio, komputer, video, kad imbasan, gambarajah, akhbar, majalah, audio visual, model, prototaip atau bahan-bahan sejarah. Ciri-ciri bahan pengajaran efektif pula berbentuk maujud, praktikal, selamat digunakan dan  guru dapat menggunakan bahan tersebut untuk menerangkan konsep abstrak yang sukar difahami dengan berkesan.

Seorang guru yang kreatif akan menyesuaikan bahan bantu mengajar dengan isi  pelajaran agar murid  mudah menguasai konsep abstrak yang  kompleks. Ini diakui oleh Mayer & Gallini, (1990); “ Guru perlu menerangkan dengan jelas dan memberi contoh-contoh yang berkaitan untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran “.  Manakala Slavin (1994) menyarankan “guru perlu menyediakan pengajaran yang boleh menarik minat dan menyeronokkan pelajar dengan mempelbagaikan kaedah pengajaran dan alat bantu mengajar (ABM).

(b)  Pemilihan Sumber Pengajaran

Guru yang bersedia dengan maklumat dari pelbagai sumber bukan sahaja berjaya memberi penerangan yang jelas kepada pelajarnya tetapi juga mampu membuat perkaitan antara idea-idea, mencadangkan pemikiran baru dan mencabar pelajar untuk berfikir pada aras tinggi . 

Sumber- sumber pembelajaran yang boleh digunakan seperti buku teks, buku rujukan, internet, maklumat akhbar, majalah, rancangan radio dan televisyen, jurnal , prospektus, phamplets and brochures, laporan penyelidikan, statistik rasmi, Akta, Arahan Perbendaharaan termasuk  sumber hasil temubual dan soal selidik. Sumber yang tepat, sesuai, dan mencukupi mampu  mencabar minda pelajar seterusnya  menarik minat mereka untuk memahami isi pelajaran dengan  lebih berkesan.  Semasa merancang pengajaran, saya mendapatkan seberapa banyak  input daripada pelbagai sumber sebelum memulakan  setiap sesi pengajaran .


Semasa  Proses Pengajaran dan Pembelajaran  
             
(a)   Strategi Pengajaran Releven Pelbagai Budaya

Pemilihan strategi pengajaran yang tepat juga mampu membuatkan penyampaian maklumat dan pelaksanaan pengajaran menjadi lebih berkesan terutama aktiviti yang melibatkan interaksi  aktif murid yang terdiri daripada pelbagai budaya dan latar belakang.

Semasa guru melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran guru perlu memastikan   

§  melaksanakan pengajaran seperti yang dirancang
§  mengenalpasti prosedur penilaian pembelajaran murid yang sesuai
§  menerapkan nilai-nilai kepelbagaian budaya dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran
§  menyediakan suasana bilik darjah yang kondusif dari segi psikososial dan fizikal untuk murid-murid yang mempunyai latar belakang berbeza
§  mengurus disiplin murid dengan mengambilkira kepelbagaian kelompok murid
§  mengendalikan aktiviti pemulihan dan pengayaan


Selepas Proses Pengajaran dan Pembelajaran              
  
Seterusnya proses penilaian dan pengukuran perlu dilaksanakan oleh guru untuk mengetahui keberkesanan pengajaran.  Penilaian prestasi merupakan satu proses meliputi aktiviti mengumpul maklumat tentang strategi, aktiviti, hasil dan impak pengajaran dan pembelajaran bagi membuat analisis untuk memastikan pelajar telah menguasai kemahiran yang disampaikan oleh guru. Guru juga dapat merancang aktivti selanjutnya dengan cara yang lebih berkesan dan mengambil tindakan susulan .

Menurut  D. Stufflebeam dalam bukunya “ Educational Evaluation and Decision Making”, beliau telah mentakrifkan penilaian sebagai satu proses menentukan, mendapatkan serta memberikan maklumat yang berguna untuk membuat pertimbangan yang selanjutnya. Gay (1985) pula berpendapat bahawa penilaian ialah satu proses sistematik mengumpul dan menganalisis data  bagi menentukan  sama ada  sesuatu objektif  yang telah ditetapkan itu telah tercapai.

Keberkesanan sesuatu proses pengajaran tidak dapat dipastikan tanpa proses penilaian oleh guru semasa dan selepas pengajaran berlaku. Penilaian dilaksanakan berperanan untuk:

          Mengesan perkembangan penguasaan murid dan mengenal pasti kekuatan dan  kelemahan murid dalam pembelajaran untuk merancang aktiviti pengayaan dan pemulihan
          Mengenal pasti keberkesanan pengajaran guru supaya membolehkan guru memperbaiki pengajaran selanjutnya
          Mengambil tindakan susulan untuk mengatasi kelemahan & meningkatkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran
            meningkatkan keberkesanan pengajaran .

Keputusan peperiksaan penilaian formatif  pula yang dilaksanakan selepas tamat sesuatu tajuk dan  penilaian sumatif yang dilaksanakan secara holistik pada hujung semester dapat menilai pencapaian pelajar. Penilaian prestasi pelajar juga membolehkan guru menilai semula strategi pengajaran dan membuat penambahbaikan. Penilaian menyeluruh pelajar dapat dilakukan melalui data-data pengukuran kuantitatif dan kuanlitatif .

Pengukuran merupakan satu proses sistematik  untuk  mendapatkan maklumat secara kuantitatif untuk menentukan pencapaian murid. Tujuan utama pengukuran adalah untuk membuat pengelasan bagi pencapaian akademik murid dalam pembelajaran dan membuat penambahbaikan kepada kaedah pengajaran guru. Alat pengukuran dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah seperti data kuantitatif hasil daripada ujian bulanan, kuiz,  peperiksaan, temubual murid/rakan sekerja, soal selidik,  senarai semak, rekod anekdot, skala kadar, sosiogram, data pemerhatian dan kajian tindakan. Alat pengukuran yang tepat dalam proses penilaian mampu memberi maklumat berharga kepada guru untuk mengukur pembelajaran pelajar dan menilai keberkesanan pengajaran guru .  Apabila guru memberikan ujian kepada pelajarnya,  guru sebenarnya bukan sahaja sedang mengukur pencapaian pelajarnya tetapi juga mengukur keberkesanan strategi pengajarannya sendiri.
         
Penambahbaikan perlu dilakukan oleh guru setelah melaksanakan penilaian dan pengukuran. Pendekatan Pengajaran Masteri contohnya amat menekankan bahawa guru perlu memastikan murid telah dapat menguasai sesuatu kemahiran sebelum kemahiran yang baru disampaikan. Penambahbaikan berbentuk pemulihan, pengayaan dan penilaian semula kesemua elemen-elemen yang terlibat semasa merancang dan semasa  proses pengajaran dan pembelajaran  berlaku perlu diambilkira oleh seorang guru yang proaktif dan berkesan
                 
Setelah guru selesai menyempurnakan proses pengajaran dan pembelajaran, guru perlu memperuntukkan masa membuat refleksi terhadap pelaksanaan pengajarannya. Langkah ini adalah penting untuk mengkaji keberkesanan pengajaran guru dalam aspek pemilihan strategi pengajaran, penggunaan bahan bantu mengajar, maklumat dan sumber pengajaran, tahap pencapaian murid dan keberkesanan komunikasi guru-murid..


Rumusan

Kita sudah sampai ke penghujung topik. Mari kita membuat rumusan.tentang apa yang telah dipelajari.

·               Pedagogi atau pengajaran merupakan satu proses daripada persediaan untuk mengajar, melakukan pengajaran, menilai kembali apa yang telah diajar serta melakukan tindakan susulan bagi menyempurnakan proses pengajaran itu.

·               Pembelajaran ialah proses perubahan struktur mental yang membina keupayaan  tingkah laku yang berbeza

·               Pengurusan pengajaran dan pembelajaran  melibatkan proses-proses seperti merancang, melaksana, menilai dan membuat tindakan susulan termasuk penambahbaikan terhadap pengajaran dan pembelajaran dengan mengambil  kira  latarbelakang pelajar, dan kepelbagaian perbezaan dari segi kognitif, sosial, emosi dan fizikal pelajar.

·               Ciri-ciri seorang pengurus pengajaran dan pembelajaran berkesan termasuk prihatin dan peka terhadap situasi sekeliling; sistematik dalam merancang dan menilai;  penyabar menghadapi kerenah murid pelbagai latar belakang, mengurus masa dengan baik dan  mempunyai kemahiran abad ke 21.

·               Guru perlu  mengambil kira semua aspek  kepelbagaian  budaya apabila mengurus pengajaran dan pembelajaran dalam semua peringkat pengajaran.



Senarai teks bacaan dan rujukan diberikan di bawah.

Teks Bacaan Asas

Santrock J.W (2006) Educational psychology: A tool for effective teaching( 3rd ed).New York: Mc Graw – Hill


Rujukan

Burden, P.R. & Byrd, D.M. (1994). Methods for effective teaching. Boston: Allyn Bacon.

Good, T.L.& Brophy, J.E.(1997). Looking in classrooms. New York: Addison Wesley Educational Inc.

Gredler, M.E. (2001). Learning and instruction. Theory into practice.(4th Ed.) New Jersey: Merrill Prentice Hall.

No comments:

Post a Comment